View: 560|Reply: 0
|
Menjadi hamba yang beruntung
[Copy link]
|
|
Menjadi hamba yang beruntung
KITA perlu selalulah ingatkan diri dengan janji-janji Allah kepada hamba-Nya yang beriman dengan beramal yang soleh yang mana Dia menyediakan balasan syurga.
Sesungguhnya, dunia ini bukan tempat tinggal kekal kita. Sudah ditetapkan Allah tentang pola kehidupan duniawi, pasti akan bertemu dengan detik terakhir riwayat. Di dalam al-Quran, kosa kata maut paling banyak disebut, iaitu lebih daripada 50 kali. Ini menunjukkan yang Allah telah memberikan para hamba-Nya segala peringatan dan panduan jelas bagaimana menelusuri jalan kehidupan dunia yang diredai-Nya.
Dunia hanyalah jambatan menuju ke negeri abadi, alam akhirat. Mungkin kita yang masih hidup ini sukar menggambarkan keadaan alam akhirat, tetapi berdasarkan pemahaman menerusi kuliah agama, sedikit sebanyak telahpun sedia kita menyedari bahawa kehidupan di alam akhirat pasti akan dilalui oleh kita semua. Mahu tidak mahu kita akan meninggalkan dunia yang fana ini buat selamanya dan akan menempuh alam baru yang kekal selamanya.
Sungguh malang sekiranya kita lupa kepada alam yang kekal abadi semata-mata mahu kecapi semaksimumnya apa yang ada di atas muka bumi ini. Pun demikian, bukanlah bermakna kita begitu hadkan dengan amalan akhirat semata-mata hingga lupa pula kepada urusan duniawi. Islam menyuruh kita supaya seimbangkan kedua-duanya dan apa yang lebih mustahak disedari ialah tidak seharusnya kita membelakangi urusan akhirat yang bakal menjadi tempat kekal selamanya.
Justeru, dalam kesibukan mengurus hal ehwal keduniaan seharian, usah sesekali kita pinggirkan bekalan kita menuju akhirat. Perbanyakkanlah usaha beramal ibadah dan amalan soleh kerana dengan cara itu sahajalah kita ditempatkan di kedudukan yang membahagiakan di akhirat kelak.Buat apa sekiranya di dunia kita berada dalam keadaan penuh keselesaan dan disaluti kemewahan limpah ruah, sedangkan di akhirat mendapat tempat yang penuh seksaan.
Hendaknya kita selalulah ingatkan diri dengan janji-janji Allah kepada para hamba-Nya yang beriman dengan beramal yang soleh yang mana Dia menyediakan balasan syurga yang dipenuhi aneka kenikmatan yang tidak tergambar di mata manusia di dunia ini.
Dalam Surah As-Sajadah ayat 17 Allah berfirman yang bermaksud: "Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.' Benar sekali, apa yang Allah sediakan untuk kita di dalam syurga tidak dapat diperincikan seratus-peratus dan tidak terfikir oleh kekuatan akal.
Rasulullah SAW juga turut memperingatkan umatnya supaya tidak lalai dengan kesibukan dunia tanpa mempedulikan urusan bekalan akhirat. Ini jelas terakam dalam sabdanya yang direkodkan oleh At-Tirmizi yang mana Baginda bersabda, 'Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau pengembara. Apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah engkau menunggu pagi hari dan jika engkau berada pada waktu pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, dan manfaatkanlah hidupmu sebelum datang kematianmu.'
Dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 Allah menegaskan dengan firman-Nya yang bermaksud, 'Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperlihatkan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok(akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.'
Oleh yang demikian, sentiasalah kita mempasakkan diri dengan kekuatan iman dan takwa. Hal ini kerana Allah sudah menjelaskan bahawa hamba-Nya yang bertakwa adalah ciri terulung yang bakal mendapat nikmat syurga. Dalam Surah Ali Imran ayat 133 Allah berfirman yang bermaksud, 'Syurga disediakan (dipersiapkan) bagi orang yang bertakwa.' Demikian juga dalam Surah Maryam ayat 63 Allah menegaskan, 'Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.'
Kita juga berkewajipan daya-upayakan diri untuk menjadi seorang hamba Allah yang bukan sahaja beriman kepada-Nya tetapi juga memiliki akhlak yang mulia. Dalam ayat 1 hingga 11 Surah Al-Mukminun Allah menyenaraikan mereka yang bakal ditempatkan dalam syurga Firdaus yang kekal selamanya.
Dalam ayat-ayat itu Allah berfirman yang bermaksud, 'Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna. Dan orang yang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri atau hamba yang mereka miliki. Sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat-amanat yang dipikul dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi, iaitu mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.'
Perhatikanlah dengan teliti ayat-ayat Allah itu kerana di dalamnya disenaraikan mereka yang bakal mendapat balasan syurga irdaus dan ini adalah janji Allah sendiri. Pertama dan terulung ialah menjadi orang yang beriman. Ini adalah akar tunjang dalam meletakkan diri kita sebagai golongan yang beruntung.
Beriman dengan perwatakan dan amal yang macam mana? Allah jelaskan orang beriman yang khusyuk dalam solatnya. Ini bermakna bukan solat yang dilakukan sambil lewa dan penuh hambar, sebaliknya ciri mereka yang berjaya di akhirat adalah mereka yang bersolat dengan penuh khusyuk. Kedua Tidak cukup dengan itu, kita juga diarahkan supaya menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berguna.
Mungkin kita mampu khusyukkan diri dalam solat, tetapi soalnya mampukah kita pertahankan anggota badan dan lidah kita daripada berbuat sesuatu yang melanggar etika Islam? Berapa banyak yang berjaya mewatakkan diri dengan kekhusyukan yang padu namun di waktu lain, tidak kurang yang gagal dalam merencanakan diri dengan watak dan imej kendiri yang berlabel Islam sejati. Umpat keji, fitnah sana sini, menggosip, berburuk sangka dan entah apa lagi yang dilarang, masih sanggup dilakukan secara terang-terangan. Jika ini ada pada diri kita, bermakna kita masih belum mencapai kriteria yang digariskan Allah untuk menjadi hamba yang beruntung di akhirat kelak!
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... amba-yang-beruntung
|
|
|
|
|
|
|
| |
|