CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 649|Reply: 0

Persiapan datangnya Ramadan

[Copy link]
Post time 31-1-2023 09:23 AM | Show all posts |Read mode
Persiapan datangnya Ramadan


UMAT Islam digalakkan melakukan persediaan sebelum Ramadan dengan memperkemaskan pengetahuan tentang pelaksanaan ibadah fardu dan sunat.


Kini kita berada dalam bulan Rejab. Kedatangan bulan Rejab dalam takwim Hijri memberi petunjuk Ramadan akan berkunjung tiba tidak lama lagi. Begitulah susunan bulan-bulan dalam takwim Hijri yang menunjukkan kedatangan bulan Rejab mendahului bulan Ramadan dengan jarak yang tidak lama.

Allah SWT berfirman mengenai bulan Rejab yang bermaksud:  "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia (Allah) menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)..." (Surah at-Taubah, ayat 36)

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang ditetapkan oleh Allah SWT. Istilah 'bulan haram' merujuk kepada bulan yang diharamkan berlakunya pembunuhan. Perkara ini diyakini dan menjadi pegangan orang Jahiliah sebelum kedatangan Islam lagi. Pada bulan-bulan haram tersebut tidak berlaku sebarang bentuk peperangan kerana masing-masing akur dengan ketetapan yang dipegang dan diwarisi daripada golongan terdahulu.

Pada bulan-bulan haram tersebut, larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan yang lain kerana kemuliaannya. Pada masa sama, dianjurkan pada bulan-bulan haram tersebut untuk memperbanyakkan melakukan amalan kebaikan dan ketaatan. Tambahan pula bulan Zulhijah yang juga merupakan antara bulan haram merupakan tempoh berlakunya ibadah haji dengan segala urusan tersebut juga melibatkan bulan sebelumnya iaitu Zulkaedah dan bulan selepasnya iaitu Muharam.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  "Setahun berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci). Tiga bulannya berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. (Satu bulan lagi adalah) Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Setiap Muslim perlu menyedari tentang kehadiran bulan Rejab yang menunjukkan Ramadan akan berkunjung tiba tidak lama sahaja lagi. Kesedaran ini menuntut agar umat Islam mempersiapkan diri untuk menemui Ramadan yang menjanjikan peluang besar daripada Allah SWT agar meraih ganjaran daripada-Nya. Sememangnya Ramadan tetap hadir setiap tahun, namun sebagai umat Islam yang mendambakan rahmat dan kasih sayang Allah SWT, kedatangan Ramadan perlu disambut dengan keterujaan untuk melipatgandakan amalan yang berkualiti lebih daripada tahun-tahun sebelumnya.

Bulan Rejab boleh dijadikan bulan untuk melakukan puasa sunat bagi melatih diri sebelum kedatangan Ramadan. Meskipun tidak ada puasa sunat khusus yang dikaitkan dengan bulan Rejab, namun pelaksanaan ibadah puasa sunat hari Isnin dan Khamis serta puasa sunat pada hari-hari putih iaitu pada 13, 14 dan 15 bulan Rejab dan Syaaban nanti termasuk dalam amalan kebaikan bagi melatih diri sebelum datangnya Ramadan.

"Rasulullah SAW pada kebiasaannya memerintahkan kepada kami (para sahabat baginda) untuk berpuasa pada Ayyam al-Bidh (hari-hari putih) iaitu 13, 14 dan 15 (daripada bulan Hijriyyah)." Dan baginda bersabda: "Puasa Ayyam al-Bidh itu seperti puasa setahun."  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Bagi kaum wanita yang masih belum melunaskan puasa ganti bulan Ramadan yang lalu, maka kedatangan bulan Rejab yang memberi petunjuk hampir datangnya Ramadan boleh dimanfaatkan untuk melakukan qada' puasa. Ini merupakan satu tanggungjawab bagi setiap orang Islam, bukan sahaja bagi golongan wanita, tetapi sesiapa juga yang mendapat rukhsah puasa pada tahun lalu, maka mereka perlu melakukan qada' puasa kerana ia merupakan antara ibadah utama dalam Islam.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  "…Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Selain daripada puasa, Ramadan juga dikaitkan dengan ibadah solat sunat Tarawih yang diketahui pensyariatannya hanya pada bulan tersebut sahaja. Tidak ada solat Tarawih pada bulan-bulan selain daripada Ramadan. Namun, sebagai manusia yang tidak banyak melakukan amalan solat sunat, adalah menjadi satu latihan diri untuk memperbanyakkan pelaksanaan solat sunat dengan tujuan melatih diri sebelum kedatangan Ramadan.

Maka antara solat sunat yang boleh dilaksanakan bermula pada bulan Rejab ialah melibatkan solat sunat Rawatib. Solat sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat fardu sama ada sebelum ataupun sesudahnya. Terdapat 12 rakaat solat sunat Rawatib yang termasuk dalam kategori  mu'akkadah  (amat digalakkan) iaitu empat rakaat dengan dua salam sebelum solat Zuhur, dua rakaat selepas solat Zuhur, dua rakaat selepas solat Maghrib, dua rakaat selepas solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Barang siapa yang melaksanakan solat sunat 12 rakaat dalam sehari semalam, Allah akan menyediakan untuknya rumah di syurga."  (Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga dengan solat sunat Witir yang juga menjadi antara solat yang tidak ditinggalkan dalam bulan Ramadan. Justeru, antara persediaan yang boleh dilakukan pada bulan Rejab ialah dengan mula melaksanakan solat sunat Witir. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Sesiapa sahaja yang khuatir dirinya tidak dapat bangun pada akhir malam, maka solatlah Witir pada awal malam. Namun, sesiapa yang dapat bangun pada akhir malam maka solatlah Witir pada akhirnya. Ini kerana solat pada akhir malam adalah sesuatu yang disaksikan, dan hal tersebut adalah solat yang utama."  (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk melakukan persediaan sebelum Ramadan dengan memperkemaskan pengetahuan tentang pelaksanaan ibadah fardu dan sunat. Hadirilah majlis-majlis ilmu yang membicarakan perihal fikah puasa meskipun diri telah berpuasa berpuluh-puluh tahun sebelum ini. Sama-samalah kita berazam agar puasa tahun ini merupakan puasa yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sesungguhnya persediaan yang dilakukan bagi tujuan meraih ganjaran besar pada bulan Ramadan merupakan antara perbuatan para sahabat Rasulullah SAW. Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif  menyatakan:  "Mereka (para sahabat Rasulullah) berdoa kepada Allah selama enam bulan (sebelum Ramadan) agar mereka dapat menemui Ramadan."

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-datangnya-ramadan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 11:43 PM GMT+8 , Processed in 0.052832 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list