|
Episod mencabar iman
MANUSIA yang menyahut seruan Dajal akan hidup bahagia dan kenikmatan manakala yang menentangnya berada dalam kesengsaraan dan kesempitan.
Dunia yang diduduki oleh manusia serta pelbagai makhluk hari ini akan sampai kepada titik penghujungnya dan keadaan itu disebut sebagai kiamat.
Sebelum Allah SWT menghancurkan dunia, terdapat tanda kecil dan tanda besar yang sudah diisyaratkan kepada manusia bertujuan untuk peringatan dan persiapan menghadapi hari kebangkitan kelak.
Episod yang paling menakutkan untuk semua umat manusia dan juga kebimbangan rasul adalah menghadapi fitnah Dajal al-Masih.
Ulama berpandangan bahawa manusia yang tidak hidup pada zaman Dajal adalah satu rezeki untuknya manakala mereka yang hidup pada era pemerintahan Dajal akan menghadapi ujian iman yang paling besar.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir ada menukilkan bahawa pengakhiran dunia akan memperlihatkan penguasaan Dajal di dunia dengan sejumlah pengikut yang ramai. Dajal adalah fitnah terbesar yang akan dihadapi oleh manusia akhir zaman.
Rasulullah SAW berkali-kali memperingatkan umatnya agar mempersiapkan diri untuk menghadapai fitnah Dajal.
Dajal memiliki kemampuan yang sangat hebat untuk menipu manusia. Digambarkan ia mampu menghidupkan orang mati, menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, membawa makanan dan minuman kepada orang sedang kelaparan dan lainnya.
Manusia yang menyahut seruannya akan hidup dalam kebahagiaan dan kenikmatan manakala yang menentangnya berada dalam kesengsaraan dan kesempitan.
Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mempercayai dan mengikutinya maka tidak berguna amal ibadat yang dia lakukan sebelum itu. Sesiapa yang mendustakannya maka dia tidak akan diseksa dengan amal perbuatannya sebelum itu." (Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah)
Namun, kekuasaan Dajal tidak akan berterusan di bumi Allah. Nabi Isa AS diutuskan kembali ke dunia yang akan membawa keadilan seterusnya memusnahkan Dajal.
Untuk membezakan susuk tubuh Dajal dan Nabi Isa, Nabi SAW menggambarkan mereka menerusi beberapa hadis berkaitan fizikal mereka. Susuk fizikal Dajal sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentangnya. Tiada seorang nabi melainkan ia akan memperingatkan kaumnya tentang Dajal. Nuh memperingatkan kaumnya. Akan tetapi aku akan memberitahu kamu sesuatu yang tidak disampaikan seorang nabi sebelumku. Sesungguhnya Dajal itu bermata satu dan Allah SWT tidak bermata satu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Gambaran kepada Nabi Isa pula adalah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Aku berjumpa dengan Isa. Beliau berperawakan sederhana (tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah), warna kulitnya putih kemerah-merahan seolah-olah baru sahaja keluar dari bilik mandi wap." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis itu, Allah memberi gambaran kepada manusia akhir zaman menerusi Nabi SAW bagaimana untuk membezakan di antara ikutan yang hak dan batil. Keluarnya Dajal dan terutusnya kembali Nabi Isa adalah dengan tujuan dan tugasan yang tertentu.
Dajal mempunyai tugasan yang besar dalam membawa manusia ke arah kesesatan dan penipuan. Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dia (Dajal) membawa bersamanya air dan api. Hakikatnya apinya adalah air yang sejuk dan airnya ialah api." (Hadis Riwayat Bukhari)
Tugas Nabi Isa pula adalah mengembalikan manusia ke arah kebenaran iaitu keadilan dan tauhid kepada Allah SWT. Baginda Nabi SAW bersabda: "Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh telah hampir tiba masanya Isa putera Maryam turun kepadamu sebagai pemimpin yang adil. Beliau akan mematahkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan mengagihkan harta sehingga tiada seorang pun yang akan menerimanya. Sehingga satu sujud lebih baik daripada dunia dan seisinya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika dilihat, tampak jelas tugasan yang akan dilaksanakan oleh Nabi Isa iaitu membersihkan segala kotoran yang dibuat dan sisa peninggalan Dajal dalam hati manusia pada saat tersebut.
Kedatangan Dajal umpama sang penguasa dunia. Disambut dengan puluhan ribu pengikut yang setia. Al-Hafiz Ibn Kathir berkata: "Dajal muncul kali pertama sebagai seorang pemerintah yang kejam, ia kemudian mengaku seorang nabi, lalu mengaku sebagai Tuhan.
"Dajal keluar dari kota Isfahan (Iran) dari sebuah perkampungan Yahudi. Lalu ia diikuti oleh 70,000 Yahudi bersenjata lengkap. Jumlah pengikutnya semakin ramai setelah 70,000 tentera Monggol (Tatar) dan penduduk Khurasan bergabung dalam barisannya. Setelah itu, orang jahil dan jahat daripada kalangan orang awam mula menyertai tenteranya.
"Kekuasaan Dajjal merebak ke seluruh kota besar dunia dengan sangat cepat. Tiada yang terselamat daripada tentera selain Makkah dan Madinah. Seluruh dunia pada masa itu diselubungi dengan ketakutan."
Rasulullah SAW bersabda: "Semua manusia akan melarikan diri daripada Dajal ke puncak-puncak gunung." (Hadis Riwayat Muslim)
Apabil Dajal menguasai dunia, Allah SWT mengutuskan kembali Nabi Isa yang turun dengan diiringi malaikat. Baginda turun di Menara Putih sebelah timur Masjid Umawi di Damsyik setelah fajar menyingsing, sejurus selepas iqamah solat Subuh dikumandangkan. Ketika itu, Muslimin berbaris untuk melaksanakan solat Subuh berjemaah. Imam mereka, seorang lelaki soleh maju ke hadapan untuk bertakbir. Lalu beliau berundur untuk mempersilakan Nabi Isa menjadi imam.
Namun, Nabi Isa menolak dengan penuh tawaduk sambil menepuk bahu orang ini dan bersabda: "Solat ini diiqamatkan untukmu." Lalu Nabi Isa bersolat bersama mereka sebagai makmum.
Rasulullah SAW bersabda: "Bagaimanakah kamu apabila turun putera Maryam kepadamu dan imammu berasal daripada kalangan kamu sendiri?" (Hadis Riwayat Bukhari)
Walaupun tempoh pemerintahan Dajal hanya dalam masa 40 hari, pengaruhnya cukup meluas sehingga ramai manusia menjadi pengikut setianya. Digambarkan hari pertama panjangnya seperti setahun, hari kedua seperti sebulan, hari ketiga bagaikan seminggu manakala hari berikutnya seperti hari-hari biasa.
Pasukan Muslimin pada ketika itu tersangat sedikit bilangannya bagi memerangi Dajal. Akhirnya mereka berundur dan terkepung di Syam sehingga turunnya Nabi Isa. Tempoh berkuasa Nabi Isa pula adalah tujuh tahun dengan tugasan membunuh Dajal dan mengembalikan keharmonian kepada dunia. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ketika musuh Allah melihat Nabi Isa, ia mencair bagaikan cairnya garam di dalam air. Jika dibiarkan, ia akan terus mencair hingga binasa. Namun Allah (telah menentukan) untuk Nabi Isa membunuhnya. Lalu baginda memperlihatkan darah Dajal di hujung tombaknya." (Hadis Riwayat Muslim)
Dajal akhirnya dibunuh dengan tangan Nabi Isa sendiri di gerbang kota Lud. Kemudian Nabi Isa menjadi pemimpin dunia yang adil dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Baginda memimpin solat berjemaah, melakukan ibadah puasa, melakukan ibadah haji di Makkah dan juga akan berkahwin dan berkeluarga kelak.
Penulis Wartawan Harian Metro
|
|
|
|
|
|
|
| |
|