CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 266|Reply: 0

Berpuasa terapi kesihatan

[Copy link]
Post time 19-4-2023 06:17 PM | Show all posts |Read mode
Berpuasa terapi kesihatan



INDIVIDU yang berpuasa terdorong menahan dan membersihkan diri dari sifat negatif.


BERPUASA adalah ibadah terbaik sebagai latihan mental, rohani dan jiwa yang akan merangsang tingkah laku positif kepada individu yang mengamalkannya dengan ikhlas.

Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga memberi kesan baik kepada tubuh dari segi fizikal iaitu dengan memulihkan fungsi tubuh serta menyemarakkan pemikiran dan emosi positif.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, kebiasaannya individu berpuasa terdorong menahan dan membersihkan diri dari sifat negatif yang banyak didorong nafsu.

Katanya, amalan berpuasa sebenarnya memberi impak baik kepada kesihatan mental dengan merangsang dan meningkatkan keupayaan individu bagi menghadapi tekanan harian dengan positif.

"Dari sudut psikologi, amalan puasa menuntut kita meningkatkan kawalan kendiri daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.

"Bukan mudah meningkatkan kawalan kendiri ini, namun melalui amalan puasa sahaja, kita berupaya mengawal deria sensasi kita iaitu penglihatan, pendengaran, hidu, rasa dan sentuh yang boleh menyumbang kepada peningkatan nafsu ghairah, ketagihan bahan, kenikmatan hidup dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, berpuasa menggalakkan kita melakukan amalan kebaikan yang menuntut mendekatkan diri dengan Maha Pencipta.

"Kita akan lebih cenderung berzikir, berdoa, mengamalkan solat sunat, membaca al-Quran, mendengar tazkirah yang dapat meningkatkan muhasabah diri, bersedekah, tolong-menolong dan sebagainya.

"Ini sudah tentu menguatkan diri secara mutlak melalui amalan bersabar menahan diri dan seterusnya meningkatkan kesihatan fizikal dan mental pada pengamalnya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Shazli Ezzat yang juga Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) berkata, individu yang berada dalam situasi tekanan, kebimbangan dan kemurungan akan mendapat manfaat daripada amalan berpuasa ini.

"Berpuasa dapat memberikan ketenangan dan kedamaian minda berikutan paras gula dalam darah menjadi semakin stabil, merendahkan kolesterol dan mengurangkan tekanan darah sistolik," katanya.

Beliau berkata, kajian pakar perubatan di Amerika Syarikat yang menunjukkan puasa berupaya mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang.

"Seseorang yang berpuasa memperoleh skor markah yang tinggi dalam ujian kecerdasan berbanding dengan yang tidak berpuasa. Ini disebabkan ketika perut dan usus melalui proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu pada otak. Ia menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi ruang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti yang menggunakan mental dan fikiran dengan baik.

"Ini akan merangsang perkembangan tingkah laku yang positif seperti membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, berdoa di samping keupayaan berdaya tindak dengan baik bagi menghadapi tekanan kehidupan.

"Dengan cara ini akan dapat mengekang seseorang itu daripada mempunyai sifat hasad dengki, panik, kebimbangan, kemurungan dan membenci diri sendiri yang boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental," katanya.

Mengulas lanjut, berpuasa memberi ruang fungsi anggota badan yang bekerja tidak berhenti-henti sepanjang kehidupan, berehat seketika.

"Seseorang yang obesiti akan berjaya menurunkan berat badan. Secara psikologinya apabila berjaya menurunkan berat badan keyakinan diri, kawalan kendiri, kekuatan kendiri dan kestabilan emosi dapat ditingkatkan. Selain mengurangkan tingkah laku menangguh kerja, malas dan leka yang boleh menyumbang kepada masalah emosi, pemikiran serta tingkah laku," katanya.

Tambahnya, bukan itu sahaja, amalan berpuasa boleh dijadikan sebagai terapi kepada individu yang diserang penyakit mental seperti panik, kebimbangan, kemurungan dan lain-lain.

"Amalan berpuasa mendedahkan mereka kepada dorongan untuk berhadapan dengan ketakutan dan kebimbangan mereka sendiri serta ini akan merangsangkan mereka untuk pulih daripada masalah ketakutan, kebimbangan, panik dan sebagainya.

"Dari segi psikologi ia dikenali sebagai terapi pendedahan yang juga satu intervensi rawatan berkesan bagi merawat gangguan mental berkaitan kebimbangan seperti gangguan panik, fobia, ketakutan dan sebagainya. Psiko-edukasi juga penting untuk menyedarkan mereka bahawa punca bangkitnya masalah gangguan mental adalah disebabkan obsesif melampau terhadap simptom berpuasa bukan disebabkan penyakit fizikal.

"Cara ini akan meneutralkan cara daya tindak mereka untuk tidak menjadi bimbang kerana ia adalah simptom yang biasa dilalui ketika berpuasa dan tidak perlu bimbang dan takut. Kefahaman yang jelas ini akan melahirkan cara daya tindak yang positif untuk menjadi lebih berani dan tidak mengaitkan simptom puasa itu sebagai satu ancaman kepada kesihatan fizikal dan mental mereka," katanya.

Beliau berkata, amalan berpuasa mempunyai kelebihan luar biasa dari sudut psikologi selain terbukti berkesan terhadap kekuatan fizikal.

"Berpuasa juga adalah terapi kepada banyak penyakit fizikal dan mental serta spiritual. Kefahaman yang jelas berkenaan amalan berpuasa perlu diimarahkan supaya amalan puasa boleh dijadikan sebagai satu intervensi untuk meningkatkan tahap kesihatan secara holistik," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/202 ... sa-terapi-kesihatan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 07:22 PM GMT+8 , Processed in 0.070049 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list