Georgetown: Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 53 tahun selepas dia memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, di sini, semalam, dan merosakkan logo agensi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan pada jam 12.45 tengah malam daripada pegawai bomba yang bertugas.
Katanya, pemeriksaan mendapati wanita terbabit berasal dari Pulau Pinang dan tidak mempunyai rekod lampau.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengambilan dadah.
"Suspek disyaki mengalami masalah mental dan dirujuk serta ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak bagi rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Soffian berkata, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga esok.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam kejadian itu, wanita terbabit dipercayai memasuki kawasan berkenaan sebelum merosakkan harta benda di suatu sudut balai dengan menggunakan penukul.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah berkata kejadian terbabit berlaku jam 11.45 malam Ahad lalu.
Katanya, anggota bomba yang bertugas cuba menghalang namun tidak dihiraukan wanita berkenaan sebelum pihaknya menghubungi polis bagi tindakan lanjut.
"Dia sering melakukan provokasi gangguan bunyi bising ke arah balai sejak tahun lalu namun ini adalah kali pertama dia masuk dan merosakkan harta benda di sini.
"Kita faham dia mempunyai masalah kesihatan, jadi tidak ada tindakan diambil sebelum ini dan kes sudah diserah kepada polis bagi siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini.