|

IRA yang dibebaskan daripada penjara pada 27 Jun lalu disambut ahli keluarganya dengan linangan air mata. FOTO Tangkap layar video TikTok
Kepala Batas: "Kami adik-beradik tak pernah memandang serong pada Ira walaupun dia bekas banduan kerana status itu tidak membawa kesan apa-apa, malah apa saja cakap orang mengenainya saya tak kisah," kata lelaki dikenali Yusri.
Yusri, 25, adalah abang kepada wanita yang baru dibebaskan daripada Penjara Pokok Sena, Kedah dikenali sebagai Ira, 24, pada 27 Jun lalu.
Video Yusri bersama kakak dan ahli keluarga mereka menyambut kepulangan Ira di luar penjara dengan linangan air mata dikongsi di TikTok meruntun hati netizen dan mendapat komen positif serta memberi sokongan kepada Ira.
Yusri berkata, status sebagai bekas banduan bukan sesuatu yang menjijikkan sehingga dia dan keluarga perlu membuang adiknya itu daripada hidup mereka, malah kasih sayang antara adik-beradik masih kekal utuh.
"Kami anak yatim piatu, kalau bukan kami yang memberi sokongan kepada Ira, siapa lagi. Apa saja yang berlaku termasuk kisah silam Ira biarlah berlalu kerana apa yang penting dia perlu bersemangat untuk bangkit semula.
"Biarlah orang luar nak hina atau caci yang penting kita tahu siapa kita. (Mungkin) ada orang aibnya ditutup tetapi jangan terlalu angkuh dan ini ujian keluarga kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, video yang dikongsi di TikTok hanya sekadar untuk kenangannya selain mahu menyampaikan mesej kesedaran supaya orang lain yang mempunyai ahli keluarga status sama tidak malu menyambut kepulangan mereka.
"Saya tidak mahu stigma meminggirkan banduan masih ada selain mahu masyarakat terus sedar yang bekas banduan juga layak berada dalam komuniti dan jangan pandang serong kerana setiap individu itu mempunyai kisah sendiri.
"Saya terharu dan menghargai komen netizen di TikTok yang tidak memandang serong kepada adik, malah mereka memberikan sokongan dan kata positif untuk Ira," katanya.
Sementara itu, Ira yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia menjalani hukuman di tirai besi selama dua tahun bermula Jun 2021 dan mengakui tempoh itu banyak mengajarnya erti kehidupan dan mendalami ilmu agama.
Katanya, pada mulanya dia juga sukar menerima kehidupan dalam penjara namun dia reda melaluinya dan mengakui turut berasa takut jika keluarga tidak dapat menerimanya.
"Walaupun keluarga saya tidak datang menziarah tetapi mereka tidak pernah lupa bertanya khabar dan mengirim wang untuk keperluan bulanan tetapi saya masih ada rasa rendah diri dan takut tidak diterima keluarga selepas dibebaskan.
"Tak sangka abang (Yusri) memaklumkan mereka akan jemput saya ketika dibebaskan dan saya bersyukur kerana bukan saja dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga, malah mereka menyambut kepulangan saya dengan tangan terbuka tanpa memandang serong," katanya.
Katanya, dia tidak mahu mengingati kisah silam dan apa saja yang berkaitan sehingga mengheretnya ke tirai besi, namun dia mengakui hukuman itu mempunyai hikmah-Nya.
"Sejujurnya saya masih berasa rendah diri dan bimbang dengan pandangan masyarakat, malah terasa seperti ada yang memerhati apabila keluar rumah.
"Saya baca semua komen di TikTok abang dan berterima kasih dengan sokongan serta komen positif orang ramai di TikTok, saya terharu dan semua itu menaikkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... n-dia-bekas-banduan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|