|

MUHAMMAD Qamarul Haziq Mohamad Samini terlantar sejak bayi. FOTO Ihsan Mohamad Samini Mahamud.
Melaka: "Dia anugerah dari Allah SWT buat saya dan isteri. Kami bersyukur terpilih kerana bukan semua orang dapat hadiah terindah itu," luah Mohamad Samini Mahamud.
Mohamad Samini, 38, dan isteri, Nurhazirah Hassim, 36, dikurniakan empat cahaya mata namun anak sulung mereka, Muhammad Qamarul Haziq, 10, ditakdirkan menghidap penyakit 'Agyria-pachygyria complex and spastic quadriplegic Cerebral Palsy (CP) gmfcs v complicated with bilateral cortical blindness CP' yang menyebabkan otak tidak normal, masalah saraf dan penglihatan.
Berikutan penyakit itu, Muhammad Qamarul Haziq tidak dapat menjalani hidup normal jauh sekali ke sekolah seperti rakan sebaya lain sebaliknya hanya terlantar diatas katil, masih meniarap seperti bayi serta perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Meskipun begitu, Mohamad Samini dan Nurhazirah Hassim terus cekal membesarkan Muhammad Qamarul Haziq malah tidak pernah berhenti berharap untuk melihat anak syurga mereka itu sembuh.
Bercerita lanjut, Mohamad Samini yang menetap di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, di sni berkata, anak sulungnya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berumur lima bulan.
"Ketika lahir nampak normal mungkin kerana tubuhnya belum membesar pada waktu itu.
"Melihat perkembangannya yang tidak normal, saya dan isteri bawa ke hospital sebelum dapat pengesahan daripada doktor.
"Walaupun diuji ketika dapat zuriat pertama, kami tak sedih sebaliknya terima dengan reda ketentuan Ilahi.
"Lagipun, ada ahli keluarga lain yang mempunyai anak istimewa jadi sudah dapat membiasakan diri walaupun belum ada pengalaman," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mohamad Samini berkata, pada awalnya, dia dan isteri pernah membawa Muhammad Qamarul Haziq ke klinik swasta untuk menjalani pemeriksaan.
Bagaimanapun, dia dan isteri tidak mampu untuk menanggung kos rawatan hingga menyebabkan usaha itu terhenti ketika anak mereka berusia tiga tahun.
"Menurut doktor, mata anak saya kemungkinan tidak nampak atau samar-samar dan pernah kata anak saya tak boleh sembuh serta hanya akan terlantar seumur hidup.
"Jika apa-apa berlaku, doktor beri pilihan dua pilihan sama ada untuk membiarkannya hidup atau sebaliknya.
"Sebagai bapa, saya tentunya tak sanggup lihat anak pergi jadi sepakat untuk terus menjaga dan membesarkannya bersama isteri yang kini suri rumah sepenuh masa.
"Buat masa ini, anak saya terlantar saja dan minum susu formula. Dia boleh makan bubur tetapi tak boleh kunyah dan beratnya hanya 21 kilogram (kg).
"Disebabkan keadaannya itu, kami perlu uruskan semua keperluannya namun bersyukur kerana anak yang lain faham malah amat menyayangi abang mereka," katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Mohamad Samini, niatnya bukan untuk meraih simpati tetapi sekadar berkongsi pengalaman menjaga anak istimewa dan mengharap doa daripada orang ramai.
"Saya baru aktifkan akaun TikTok tahun lalu dengan niat cari kenalan terutama dalam kalangan ibu bapa yang senasib.
"Selepas kongsi video di TikTok, baru saya tahu ramai yang ada anak sama dan rata-ratanya beri semangat kepada saya.
"Syukur juga kerana ramai mendoakan dan sesungguhnya hanya Allah SWT yang boleh beri kesembuhan jadi sebagai hamba, saya amat mengharap keajaibannya.
"Ini kerana saya mahu juga melihat anak membesar seperti kanak-kanak lain," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... terindah-dari-allah |
|