Sungai Petani: "Saya tak tahu apa kebaikan abang saya sehingga Allah permudahkan segala-galanya untuk dia kembali kepada Allah," kata Noorhidayah Muhamad Salleh, 30.
Adik kepada
Allahyarham Muhamad Hafiz, 32, itu berkata, dia sangat bersyukur apabila urusan untuk membawa jenazah pulang dipermudahkan dengan bantuan daripada pelbagai pihak.
Katanya, dia dan keluarga tidak putus berdoa agar abang sulung mereka dapat dibawa pulang dan dikebumikan dengan cepat.
"Alhamdulillah sangat-sangat bersyukur sebab kalau ikutkan daripada semalam Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) bagi ucapan kata jenazah boleh dituntut pada Isnin, jadi kami memang masa tu semua ahli keluarga berdoa sungguh-sungguh sebab kami kesian kat abang, dalam hati mudah-mudahan abang boleh balik.
"Kami dapat panggilan polis dalam 11 (malam) untuk prosedur yang kata pagi ni kami boleh balik. Alhamdulillah sangat-sangat dipermudahkan daripada awal sampai habis," katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian jenazah abangnya di tanah perkuburan Islam Masjid Al Huda Kampung Jerong di sini, petang ini.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam, Bau Wong Bau Ek.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia dan keluarga sangat berterima kasih kepada semua pihak membantu mereka bermula pengurusan di hospital sehingga selesai proses pengebumian.
Katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian abangnya yang sepatutnya pulang esok untuk majlis akad nikahnya pada Jumaat depan.
"Kami sekeluarga reda. Apa yang dah tertulis kun fayakun, dah tertulis yang abang pergi dulu. Sebab kalau ikutkan esok abang balik saya punya majlis akad nikah Jumaat ni. Tapi Allah lagi sayangkan dia. Tak apa saya reda. Itu sajalah.
"Abang kata dia memang nak balik awal, hari ini dia memang balik awal," katanya.
Ketika ditanya adakah dia akan meneruskan majlis akad nikah pada Jumaat depan, Noorhidayah berkata, dia akan berbincang mengenai perkara itu selepas ini.
"Mungkin bila dah reda sikit baru boleh bincang pasal majlis, buat masa sekarang memang tak ada sebut apa-apa pasal majlis cuma Insya-Allah kalau diteruskan pun mungkin kita akan buat kecil-kecilan," katanya.
Sementara itu, Steven Sim ketika ditemui berkata, beliau hadir ke majlis pengebumian itu bagi mewakili Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk menyerahkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa.
"Kerajaan sedia membantu sekiranya keluarga memerlukan apa-apa bantuan lain, saya sudah beritahu bapa mangsa (Muhamad Salleh Othman, 57,) boleh hubungi saya atau wakil kerajaan sekiranya perlukan bantuan selepas ini," katanya.
Kelmarin, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) nombor pendaftaran N28JV.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.