View: 5456|Reply: 1
|
Usahlah dizalimi haiwan peliharaan
[Copy link]
|
|
Usahlah dizalimi haiwan peliharaan
ISLAM begitu menitikberatkan penghayatan nilai belas kasihan dan berbuat ihsan sesama insan dan haiwan.
Terkedu hati, berombak jiwa tatkala mata melihat paparan foto 15 ekor kucing mati yang dipercayai akibat perbuatan kejam. Mereka yang berhati insan tentunya tidak tergamak menyaksikan adanya haiwan, apatah lagi haiwan seperti kucing diperlakukan sedemikian kejam.
Sebenarnya sudah banyak berlaku kes seumpama ini yang jelas menggambarkan betapa masih ada kalangan umat manusia yang tidak berhati perut, tanpa rasa belas kasihan terhadap haiwan yang juga mahkluk Tuhan.
Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW dididik bukan hanya untuk berbelas kasihan dan bersifat penyayang kepada sesama insan sahaja, sebaliknya dalam masa sama Islam menganjurkan kita semua supaya sentiasa menyimpan belas kasihan terhadap haiwan, khususnya haiwan jinak yang berada di sekeliling kita.
Alam dunia yang indah dan luas terbentang ini diciptakan Allah bukan untuk manusia sahaja, kerana Allah juga menempatkan bersama manusia dengan pelbagai flora dan fauna yang tentunya bukan sebagai perhiasan panorama semata-mata, akan tetapi untuk manfaat kesejahteraan hidup manusia itu sendiri.
Islam mewajibkan kita untuk berbuat ihsan kepada makhluk yang hidup sama ada manusia mahupun haiwan kerana Allah mencintai orang yang berbuat ihsan dan kebaikan. Ini bermakna apapun bentuk kekejaman dan menyakiti haiwan hukumnya adalah haram dan pelakunya berdosa.
Ayuh, kita hayati satu petikan hadis yang diriwayatkan oleh dua imam hadis tersohor, Imam Bukhari dan Muslim yang mencatatkan bahawa galakan berbuat baik terhadap manusia kerana jika memberi minum kepada anjing pun mendapat pengampunan dosa maka lebih-lebih lagilah besar pahalanya jika memberi minum kepada manusia. Rasulullah SAW menceritakan bahawa: "Ada seorang lelaki yang sedang berjalan-jalan lalu dia merasa sangat haus. Dia lalu turun ke sebuah perigi dan minum daripada air perigi tersebut. Setelah itu dia keluar dari perigi dan dia melihat ada seekor anjing yang sedang menjelirkan lidahnya menjilat-jilat tanah yang lembab kerana kehausan. Lelaki berkenaan kemudiannya berkata-kata dalam hatinya: "Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku rasakan tadi. Maka dia memenuhkan kasutnya dengan air, memegang kasut tersebut dengan mulutnya kemudian dia naik ke atas dan memberi anjing itu minum." Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.
Apabila mendengar kisah yang dibawa oleh Baginda SAW itu membuatkan para sahabatnya bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan? Rasulullah SAW menjawab: "Berbuat baik terhadap setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala."
Inilah antara pengajaran yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada kita supaya tidak mudah meluahkan emosi marah terhadap kerenah haiwan sehingga sanggup memperlakukan dengan kejam.
Seseorang yang berjiwa insani pastinya ada tersimpan sifat belas kasihan yang dizahirkan bukan setakat terhadap sesama manusia tetapi turut dipamerkan kepada haiwan khasnya haiwan jinak peliharaan. Jiwa dan nurani seseorang Muslim tentunya sentiasa tumbuh segar dengan nilai penyayang.
Dalam satu lagi kisah, iaitu ketika Baginda Rasulullah SAW memasuki sebuah kebun milik seorang lelaki daripada kaum Ansar. Di dalam kebun tersebut terdapat seekor unta. Tatkala unta tersebut melihat Baginda SAW, unta itu merintih dan terlihat pada kedua matanya mengalirkan air mata.
Lalu, Baginda SAW pergi menghampirinya dan mengusap-usap belakang telinganya sehinggalah unta tersebut diam. Baginda SAW bertanya: "Siapakah pemilik unta ini? Kemudian, datanglah seorang pemuda daripada kaum Ansar dan berkata: "Unta ini kepunyaan saya, wahai Rasulullah."
Baginda dengan tegasnya bersabda: "Tidakkah engkau takut kepada Allah dalam menguruskan haiwan ternakan yang telah Allah berikan ini? Sesungguhnya untamu telah mengadu kepadaku bahawa engkau membiarkannya kelaparan dan membuatkannya kepenatan." (Hadis riwayat Abu Daud. Hadis sahih)
Jadi, berdasarkan dua petikan kisah dalam hadis itu memberikan kita pengajaran bahawa perbuatan zalim tanpa rasa belas kasihan terhadap haiwan merupakan perbuatan dosa yang seharusnya kita hindari.
Justeru, pendidikan tentang kepentingan memelihara dan mengurus kebajikan haiwan peliharaan sewajarnya dimulakan di rumah lagi. Bajakan jiwa anak-anak kita sengan sifat ihsan terhadap semua mahkluk Tuhan, agar membesarnya mereka kelak menjadi manusia yang kaya dengan sifat insani.
Seperkara lagi yang turut penting ialah sikap si pemelihara haiwan jinak seperti kucing yang ada kalanya membirkan haiwan mereka berkeliaran hingga mengganggu keharmonian hidup berjiran. Hal ini amat penting diambil berat kerana ada juga berlaku kes perbalahan sesama jiran tetangga, bermasam muka berminggu- minggu semata-mata kerana rasa kurang senang dengan pemilik haiwan yang tidak memeliharanya dengan kaedah yang baik.
Sudah tentunya apabila terjadinya situasi seperti itu bukan sahaja si pemilik haiwan itu mendapat pahala, sebaliknya boleh mengundang dosa pula. Pelihralah haiwan kita dengan sebaiknya tanpa menimbulkan rasa kurang harmoni dengan jiran sendiri.
Kita petik lagi satu kisah yang menunjukkan betapa prihatinnya Rasulullah SAW dalam memberikan pengajarannya kepada kita berhubung cara gaya memelihara haiwan. Dikisahkan bahawa Baginda SAW telah menjumpai seekor unta yang dalam keadaannya kurus kelaparan. Melihat keadaan unta itu menyebabkan Baginda memberikan nasihatnya dengan bersabda: "Takutlah kepada Allah dalam menguruskan haiwan yang tidak boleh bercakap ini, tunggangilah ketika ia dalam keadaan yang sesuai dan makanlah ketika ia dalam keadaan baik." (Hadis riwayat Abu Daud)
Di sini menunjukkan bahawa Baginda SAW mendidik kita agar bersifat mengasihi haiwan dan menjaga kebajikannya kerana haiwan tidak mampu untuk meluahkan rasa lapar dan sakit yang dialaminya.
Sebenarnya, terdapat banyak kisah pada zaman Rasulullah SAW yang seharusnya mampu mencelikkan mata dan minda kita untuk tidak sewenang- wenangnya bertindak kejam terhadap haiwan, sebaliknya Islam begitu menitik-beratkan penghayatan nilai belas kasihan dan berbuat ihsan sesama insan dan juga haiwan.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... i-haiwan-peliharaan
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
Setiap yg bernyawa kalau kita buat baik , dapat pahala..sayangilah semuanya.. |
|
|
|
|
|
|
| |
|