View: 8898|Reply: 0
|
Chery Omoda E5 2024 di Malaysia
[Copy link]
|
|
Menjelang pelancaran Chery Omoda E5 pada bulan hadapan, kami membawakan galeri penuh versi EV bagi Omoda 5 untuk tontonan anda. Unit Omoda E5 yang dipertontonkan sebelum ini adalah versi pra-produksi, yang anda lihat ini adalah spesifikasi sebenar yang akan dipasarkan di Malaysia.
Penjana kuasa bagi EV ini menampilkan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat. Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.
Chery mendakwa penggunaan kuasanya sekitar 14.5 kWh bagi setiap 100 km. EV ini menyokong pengecasan AC maksimum 9.9 kW serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang boleh mencapai tahap 30-80% dalam 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.
Dari sudut imejnya, Omoda E5 tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, digantikan dengan hanya satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang.
Bahagian yang kini kelihatan lebih kemas dan ringkas berkenaan menempatkan soket plag untuk mengecas SUV EV ini, disorokkan dengan penutup pada bahagian tengah muka. Namun ia masih diberikan liang udara dengan penutup aktif pada bahagian bampar yang tertutup dalam keadaan biasa bagi meminimakan kesan seretan udara, dan dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik ketika ia dipandu laju.
Omoda E5 ini juga diberikan set rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos.
Pada bahagian kabin pula rekaan yang jelas berbeza adalah pada bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 ini tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.
Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng ala-tuil gear Mercedes-Benz. Selain itu ia diberikan upholsteri kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen, dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).
Dan satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin pada model Omoda 5 – pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalan poket, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu. Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.
Untuk aspek bantuan pemandu, ia dilengkapi dengan kamera 360-darjah, lampu tinggi automatik, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan sistem pemantauan tekanan tayar.
Pendaftaran minat untuk Omoda E5 telah pun mula dibuka sejak Disember tahun lalu, namun buat masa ini harganya masih belum didedsahkan. Ketika ini, Omoda 5 janaan petrol ditawarkan pada harga dari RM108,800 hingga RM118,800 dan kami menjangkakan harga versi EV pula akan lebih tinggi dari itu. Omoda E5 juga dijangka mampu memberikan persaingan sengit dengan BYD Atto 3 yang berharga RM167,800.
https://paultan.org/2024/02/16/c ... s-dilancar-mac-ini/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|