CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4684|Reply: 0

Mazda CX-5 2.5T AWD High facelift 2024 di Malaysia

[Copy link]
Post time 9-3-2024 12:55 PM | Show all posts |Read mode


Masuk tahun ini sudah hampir tujuh tahun Mazda CX-5 generasi kedua berada dalam pasaran. Namun Mazda tetap Mazda, boleh dikatakan model-modelnya kerap menerima kemaskini tidak kira kecil atau besar dari tahun ke tahun bagi memastikannya terus relevan dalam pasaran.

Galeri yang kami tampilkan kali ini adalah kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C ini iaitu Mazda CX-5 facelift 2024 yang baru sahaja dilancarkan pada akhir Januari lalu, dalam varian paling mahal iaitu 2.5T High AWD. Varian ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM188,760.40.

Secara keseluruhan, sebanyak lima varian ditawarkan oleh Bermaz untuk barisan model CX-5 2024. Empat varian lain adalah varian 2.0G 2WD Mid berharga RM144,469.20, 2.0G 2WD High berharga RM161,169.20, 2.5G 2WD High berharga RM174,960.40 dan satu-satunya varian turbodiesel iaitu 2.2D 2WD High berharga RM180,322.80.



Walau bagaimanapun harga-harga yang disebut ini adalah harga untuk pembeli yang memilih warna metalik seperti Jet Black, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Polymetal Gray dan Platinum Quartz. Manakala bagi warna badan premium seperti Soul Red Crystal dan Machine Gray (tidak ditawarkan untuk varian asas), pembeli perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM3,300.

Bermaz Motor turut menawarkan pakej aksesori tambahan berharga RM2,410 yang merangkumi filem penapis cahaya Activ-e dan kemasan plat bendul nyalaan-LED. Manakala bagi pembeli varian asas, upholsteri kulit untuk tempat duduk boleh ditambah dengan bayaran RM2,900. Pembelian CX-5 ini dilindungi waranti pengeluar dan pakej servis percuma selama lima-tahun atau 100,000 km.

Model facelift terbaharu ini menampilkan beberapa perubahan pada sebelah luar. Antaranya adalah lampu hadapan yang nampak lebih nipis bersama elemen LED di dalamnya kini berbentuk segi empat, gril baharu dengan elemen rekaan mesh 3D, bampar hadapan yang menerima rekaan baharu yang lebih ringkas, serta lampu belakang yang juga nampak lebih nipis dan tajam.




Antara perincian standard yang dibekalkan pada model 2.5T High AWD ini termasuk rim aloi 19-ini dengan tayar 225/55R19, lampu hadapan dan belakang LED bersama nyalaan signatur, lampu kabus belakang, pengelap cermin dengan penderia hujan, pintu tailgate belakang bantuan kuasa serta penderia undur hadapan dan belakang.

Namun pada sebelah dalam hampir keseluruhannya masih lagi nampak sama seperti model kemaskini 2019, dan model pasaran Malaysia ini juga masih belum menerima skrin sesentuh infotainmen lebih besar bersaiz 10.25-inci seperti yang telah diterima pada beberapa pasaran lain.

Bagi model pasaran Malaysia ini, semua varian masih dibekalkan dengan skrin sesentuh lapan-inci, dan ia disokong dengan sambungan kepada Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto menggunakan kabel. Bunyi dari sistem berkenaan disalurkan kepada enam pembesar suara.

    

Semua varian kini turut menerima sistem pengecas tanpa wayar. Manakala kamera pemantau 360 darjah diberikan pada varian 2.0 High ke atas, di mana model 2.0 Mid hanya diberikan kamera undur biasa. Walaupun tiada perubahan ketara dilihat pada sebelah kabin, dengan rekaan ringkas ditampilkan pada bahagian dalaman CX-5 ini membuatkan ia masih lagi kelihatan segar.

Ditambah pula dengan perincian-perincian premium seperti penggunaan material sentuhan lembut pada pemegang pintu, perehat tangan, papan pemuka serta balutan kulit yang terasa premium pada upholsteri tempat duduk, tombol gear dan roda stereng, CX-5 masih lagi seiring dengan model-model lain dalam kelasnya. Bagi model 2.5T High AWD ini, perincian dalaman standard lain yang diberikan termasuk paparan head-up, pedal penukar gear, sistem penghawa dingin dua-zon dan juga tempat duduk hadapan larasan kuasa.

Ciri unik yang tampil pada CX-5 2.5T High AWD ini yang tidak dapat ditawarkan oleh pesaingnya SUV segmen-C lain sudah tentulah unit rangkaian kuasanya. Model ini dijana oleh enjin 2.5 liter empat silinder dengan pengecas turbo, menghasilkan kuasa antara yang paling besar dalam kelasnya iaitu 231 PS dan tork maksima 420 Nm.



Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan Skyactiv-Drive, yang turut dipadankan pada varian-varian CX-5 yang lain. Apa yang menarik, kotak gear tersebut kini berfungsi lebih pantas berbanding versi-versi terdahulu, dan sekiranya anda memilih mod manual, ia benar-benar hampir sepenuhnya manual kerana gear tidak akan ditukar sendiri walaupun jarum takometer telah mencecah redline.

Bagi memastikan tork yang besar dihasilkan dari enjin berkesan di atas permukaan jalan, CX-5 yang dijana enjin 2.5 liter Turbo ini datang mandatori dengan sistem pacuan semua roda. Malah sistem berkenaan turut disertakan dengan Off-road Traction Assist bagi membantu pemandu melalui permukaan jalan yang tidak bertar.

Manakala teknologi idling stop Mazda (auto start-stop untuk enjin ketika kelajuan melahu) dan juga G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) bagi memberikan pemanduan jinba-ittai Mazda masih dipadankan secara standard pada CX-5 2024 ini.

    

Untuk keselamatan pula, kesemua CX-5 menerima kelengkapan seperti enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, traction control, bantuan mula mendaki, kunci walkaway dan juga cangkuk tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix.

Manakala sistem bantuan pemanduan pula diberikan pada semua varian kecuali 2.0 Mid, dengan fungsi seperti lampu hadapan adaptif, kawalan lampu tinggi, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar laluan, bantuan kekal lorong, amaran perhatian pemandu, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang serta Mazda Radar Cruise Control & Traffic Support.
https://paultan.org/2024/03/08/g ... -disegarkan-rm189k/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-11-2024 12:06 AM GMT+8 , Processed in 0.039728 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list