|
RAFIQ akan turun menghadapi Klasik Antarabangsa Sonic di Singapura yang akan membuka tirainya esok. – IG RAFIQ ISMAIL
JAGUH tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail memburu pingat emas dalam Kejohanan Tenpin Boling Asia 2024 di Bangkok, Thailand pada September depan untuk mempertahankan kejuaraan tiga tahun berturut-turut yang dimenanginya sebelum ini.
Pemain nombor satu Asia itu sedang mempersiapkan diri untuk melepasi tiga kejohanan terbuka sebelum menghadapi Kejohanan Asia antaranya Klasik Antarabangsa Sonic di Singapura bermula esok.
“Saya sasar untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia dan mengekalkan kedudukan nombor satu pada kejohanan Asia di Thailand nanti.
“Buat masa ini saya menjalankan latihan seperti biasa dan tidak ada banyak perubahan dilakukan sebelum berangkat ke Singapura,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Rafiq juga menjelaskan dia kini berwaspada dengan peningkatan prestasi dipamerkan atlet dari Korea Selatan, Singapura dan Filipina kerana mereka berkemungkinan akan beraksi dengan sangat baik.
Selain itu, Rafiq turut berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan bagi acara berpasukan yang dimenangi tahun lalu di Hong Kong bersama Syafiq Ridhwan, Mohd. Syazirol Shamsudin, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol.
“Jika dapat memenangi acara berpasukan lebih menggembirakan berbanding perseorangan kerana kegembiraan itu dapat dikongsi bersama rakan sepasukan,” tambahnya.
Terdahulu, Rafiq membantu skuad boling negara menamatkan 15 tahun kemarau emas acara lelaki lima berpasukan di peringkat Asia dengan melakukan 7,323 jatuhan pin pada Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) di Hong Kong tahun lalu.
Berdasarkan kedudukan Persekutuan Boling Asia, Rafiq kini memegang status sebagai pemain nombor satu di Asia buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2021 dengan mengumpul 442 mata.
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... -asia-kali-keempat/ |
|