Baling: Jenazah Muhammad Luth Syauqi, 2, yang meninggal dunia selepas bertarung nyawa akibat termakan keropok yang mengandungi racun tikus, selamat dikebumikan pada jam 11.30 malam ini.
Muhammad Luth dikebumikan bersebelahan pusara abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, dekat sini.
Terdahulu, Allahyarham dibawa dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dan tiba di rumah neneknya di Kampung Banggol Berangan, di sini pada jam 10.45 malam.
Jenazah kanak-kanak itu kemudian dibawa menaiki kenderaan ahli keluarganya ke Surau Lebai Ahmad jam 11.07 malam dengan diiringi kenderaan polis untuk disembahyangkan.
Ibu Allahyarham, Nurain Hasnorizal, 25, turut hadir memberi penghormatan terakhir untuk anak bongsunya itu dan menyiram air mawar sejurus selepas itu.
Media sebelum ini melaporkan, dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas makan keropok mengandungi racun yang digantung pada dawai pagar kawasan kebun milik jiran mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Muhammad Akil Syauqi disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi Rabu lalu manakala adiknya meninggal dunia jam 1.20 petang hari ini.