Kangar: Enam nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar Pulau Langkawi, Kedah semalam, dipercayai menceroboh perairan negara.
Mereka yang menaiki tiga bot nelayan asing tanpa nombor pendaftaran dikesan di kedudukan 5.7 hingga 6.3 batu nautika dari tenggara Pulau Tanjung Dendang, Langkawi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, semua nelayan asing dikesan antara 8.45 pagi hingga 9.05 pagi, ketika anggota melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Perlis.
"
Ketika pemeriksaan, mereka menggunakan alasan mempunyai saudara mara di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, menyebabkan bebas keluar masuk negara ini.
"Bagaimanapun, mereka disyaki melakukan aktiviti memukat ketam dan bot dikemudi tiga tekong dan tiga orang awak-awak berusia 20 hingga 48 tahun," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, APMM turut menahan bot nelayan tempatan di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini, kelmarin, disyaki melakukan aktiviti menanggung kerang.
Katanya, tekong bot berusia 63 tahun cuba melarikan diri, namun enjin bot rosak menyebabkan dia terpaksa menyerah dan disiasat mengikut Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985.