Butterworth: Kilang besi di Kawasan Perindustrian Perai di sini, diarahkan untuk menghantar laporan berkaitan secara berkala dalam tempoh tiga bulan bagi membantu siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang berhubung dakwaan pencemaran udara yang dilaporkan penduduk berhampiran.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S Sundarajoo berkata, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perai menerima aduan daripada penduduk kawasannya yang memaklumkan rumah mereka tercemar dengan habuk sejak minggu lalu sehingga dibimbangi menjejaskan kesihatan.
Menurutnya, ia dipercayai daripda habuk sisa besi dari sebuah kilang yang terletak dalam lingkungan 100 meter (m) radius dengan rumah penduduk.
"Setakat ini, kita tidak dapat memastikan lagi punca (sebenar) pencemaran udara (yang berlaku) tetapi oleh kerana habuk itu mengandungi kandungan besi yang boleh dimagnetkan, kita rasa (ia) dari kilang besi (berdekatan).
"Oleh itu, saya bersama JAS sudah ke kilang besi terbabit dan menemui serta mendapatkan kerjasama daripada ketua pegawai operasi (COO) kilang untuk melaksanakan pemeriksaan berwajib.
"Pada masa sama, meminta pihak kilang menghantar laporan berkaitan secara berkala dalam tempoh tiga bulan, bagi membantu siasatan JAS," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan mengejut bersama Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan di kilang besi berkenaan di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mengejut itu dijalankan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, namun ia bertujuan mencari punca kepada pencemaran yang berlaku dalam menyelesaikan permasalahan penduduk.
"Jika bukan dari punca (kilang besi) di sini, barulah kita pergi ke sana (kilang besi yang lebih jauh dari kawasan udara tercemar ini.
"Tiada aduan bertulis dibuat kepada JAS dan kita hanya menerima aduan secara verbal (lisan) termasuk rakaman video (memaparkan lantai rumah penduduk berhabuk dan pemeriksaan mendapati terdapat elemen besi)," katanya.
Menurutnya, masih belum ada sebarang kompaun mahupun notis dikeluarkan yang siasatan terhadap dakwaan penduduk masih dijalankan.
Sementara itu, Norazizi berkata, bacaan Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu adalah antara 60 hingga 80, dengan mengambil kira faktor jerebu di sini.
"Mengikut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada waktu ini juga memang (ada pergerakan) angin bertiup dari arah laut ke darat, jadi banyak (pihak) akan terkesan di kawasan-kawasan perumahan," katanya.