GEORGETOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerbu sebuah rumah di Seberang Jaya di sini, susulan tular mengenai pemilik akaun TikTok yang didakwa menyediakan perkhidmatan pengambilan anak angkat secara haram di media sosial itu.
Pengarah JKM Pulau Pinang, Zakaria Taib, berkata pihaknya mengesan kandungan di aplikasi itu pada pagi ini.
Susulan itu, pihaknya melakukan penyamaran dengan menghubungi nombor telefon namun tidak dijawab.
"Kita ke lokasi seperti dipaparkan di akaun itu dan mendapati itu kediaman yang didiami seramai tujuh orang terdiri daripada ahli keluarga.
"Mereka mendakwa sudah mengetahui alamat mereka digunakan pemilik akaun berkenaan sejak April lalu," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zakaria berkata, pemilik rumah mendakwa sehingga kini sudah 30 individu datang ke rumahnya bertanyakan mengenai pengambilan bayi.
"Mereka mendakwa tidak tahu sama ada paparan di TikTok itu benar atau sebaliknya.
"Pemilik rumah berkenaan juga sudah membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan," katanya.