Armahalil dihadap ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat kerana memiliki buku lima. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Bapa tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu buku lima, minggu lalu.
Tertuduh, Armahalil Bunari, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja pemandu lori sawit didakwa memiliki senjata berupa buku lima tanpa sebab yang sah di sebuah rumah di Kampung Semerah Darat, dekat sini, jam 3.30 petang, 21 Julai lalu.
Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun.
Berdasarkan laporan, polis melakukan serbuan di sebuah rumah selepas menerima maklumat mengenai kejadian jenayah.
Hasil pemeriksaan ke atas tertuduh, polis menemui senjata terbabit dan apabila disoal siasat, dia tidak dapat memberikan jawapan kukuh.
Susulan itu, tertuduh ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzati Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi sebutan semula kes.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 Ogos ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Pada masa sama, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin namun dia gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar.
|