Polis mengeluarkan lapan saman ke atas pemandu jalan raya yang bertindak memotong barisan di sepanjang susur 10, Jalan Tebrau menghala Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, semalam. FOTO IHSAN POLIS Johor Bahru: Polis mengeluarkan lapan saman ke atas pemandu jalan raya yang bertindak memotong barisan di sepanjang susur 10, Jalan Tebrau menghala Jalan Lingkaran Dalam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya turut dalam usaha mengesan beberapa lagi pemandu kereta yang dikesan memotong barisan berdasarkan rakaman video dikongsi pengguna jalan raya yang lain.
"Semalam, antara 8 pagi hingga 8.30 malam, pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengeluarkan lapan saman Pol 257 atas kesalahan memotong barisan.
"Selain itu, tindakan mengesan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan potong barisan, sebagaimana dalam video tular juga sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, beberapa video dikongsi pengguna jalan raya menunjukkan tindakan beberapa pemandu yang memotong barisan ketika banyak kenderaan lain sedang berhenti di lampu isyarat dekat lokasi berkenaan.
Laluan yang terletak tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, sering kali berlaku kesesakan lalu lintas kerana terdapat lampu isyarat dan ditambah dengan tindakan segelintir pengguna jalan raya yang memotong barisan menjadikan lalu lintas bergerak perlahan.
|