100 bekas atlet gegar Perlis
Oleh Sukhairi Thani - September 13, 2024 @ 5:12pm [email protected]
Sebahagian bekas atlet yang hadir dalam Program Jasamu Dikenang di Perlis.
KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) berkunjung ke Perlis dengan misi 'dua dalam satu' bagi merapatkan hubungan antara bekas atlet dan masyarakat di kawasan utara tanah air.
Semalam, 100 bekas atlet dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hadir dalam program Jasamu Dikenang atau YAKEB Turun Padang Zon Utara yang buat julung kalinya dianjurkan di Perlis.
Program ini turut menerima kerjasama Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan dan Kelab Kangar Unity dan daripada jumlah berkenaan ia disertai lebih daripada 50 bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perlis.
Menerusi program berkenaan, bekas atlet turut menerima perkongsian strategik YAKEB bersama rakan industri, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berkongsi maklumat mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta dari National Cancer Society Malaysia yang memberikan pemeriksaan kesihatan berkaitan kanser.
Dalam majlis berkenaan juga, Zakri turut menyampaikan sumbangan bagi pihak YAKEB, bantuan di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB kepada bekas atlet negara yang memerlukan.
Kunjungan turut mengadakan beberapa acara sampingan seperti 'Meet&Greet' selain perlawanan bola sepak persahabatan antara bekas pemain Perlis dan bekas pemain kebangsaan.
Selain itu, YAKEB turut mengambil kesempatan untuk meneruskan misi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas selepas menerima sambutan positif di Johor Bahru, bulan lalu.
Kali ini, YAKEB bekerjasama dengan Kelab Kangar Unity yang diterajui Zakri dengan melakukan beberapa aktiviti seperti senaman yang turut menyasarkan pembabitan bekas atlet untuk bersama masyarakat setempat.
Lebih 70 warga emas hadir menyertai aktiviti senaman yang dianjurkan di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra - venue sama bagi perlawanan bola sepak persahabatan.
Antara bekas atlet yang hadir adalah Pengerusi YAKEB yang juga bekas atlet olahraga, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed; Datuk Malek Noor (bina badan); Soo Beng Kiang (badminton) dan Zamzuri Abu Bakar (sepak takraw).
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/09/1297928/100-bekas-atlet-gegar-perlis
|