ICQS Bukit Kayu Hitam, Kota Putra mulai sesak
Zuliaty Zulkiffl[email protected]
PELANCONG yang hendak memasuki Thailand membuat pengesahan cop pasport dan pas sempadan di ICQS negara ini. FOTO JIM
Alor Setar: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra, Durian Burung sesak apabila orang ramai mengambil kesempatan bercuti di negara jiran, hari ini.
Kesesakan luar biasa itu dilaporkan berlaku seawal 7 pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, peningkatan mendadak berlaku apabila orang ramai mahu memanfaatkan musim cuti sekolah untuk bercuti ke Thailand.
Menurutnya, kenderaan didapati beratur panjang sejauh 800 meter di pintu sempadan Malaysia-Thailand yang menghubungkan Kota Putra dengan Ban Prakob, Thailand. "Jumlah pelancong yang melalui pintu sempadan ini meningkat hampir 40 peratus berbanding hari biasa sebelum ini.
"Destinasi seperti Hatyai, Pattani serta Songkhla menjadi pilihan dan tarikan utama pelancong tempatan, dengan peningkatan ketara jumlah kenderaan yang memasuki Thailand sejak semalam," katanya.
Mohd Ridzzuan berkata, kira-kira 400 hingga 600 pelancong menggunakan ICQS Kota Putra pada hari biasa, tetapi melonjak kepada 1,868 orang sejak semalam dan dijangka berterusan sepanjang cuti sekolah ini.
Menurutnya, keadaan sama juga berlaku di ICQS Bukit Kayu Hitam yang juga pintu masuk utama di utara tanah air.
"Sejak Khamis lalu, kesesakan di ICQS Bukit Kayu Hitam menjadi semakin teruk apabila jumlah pengembara yang menuju ke Thailand bertambah secara drastik.
"Sehingga kini, seramai 30,754 pengembara sudah keluar masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam. Pengembara Malaysia memilih Hatyai sebagai destinasi yang terkenal sebagai syurga makanan ," katanya.
Mohd Ridzzuan berkata, populariti Hatyai dalam kalangan rakyat Malaysia menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti sekolah ini.
Menurutnya, bagi menangani keadaan ini, JIM Kedah mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kaunter pemeriksaan imigresen di kedua-dua ICQS sama ada di Kota Putra dan Bukit Kayu Hitam.
"Langkah ini bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen perjalanan pelancong serta memperbaiki aliran trafik di kawasan sempadan.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertugas.
"Pelancong turut diingatkan untuk memastikan dokumen perjalanan mereka sah dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di sempadan," katanya.
Disiarkan pada: September 14, 2024 @ 1:47pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1133820/icqs-bukit-kayu-hitam-kota-putra-mulai-sesak
|