32 laporan kes pokok tumbang dalam tempoh 10 minit di Sik - APM
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 18, 2024 @ 5:40pm [email protected]
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik melakukan operasi pemotongan dahan pokok tumbang di daerah itu, akibat angin kencang dan hujan lebat, hari ini. Foto NSTP/Ihsan APM
SIK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik menerima 32 kes berkaitan pokok tumbang di daerah itu dalam tempoh 10 minit.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sik, Leftenan Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat serta angin kencang pada jam 2.14 petang itu menyebabkan pokok tumbang menghalang jalan dan juga merosakkan rumah penduduk.
Beliau berkata, setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat ribut membabitkan seluruh daerah Sik.
"Dua pasukan APM Sik digerakkan bagi memotong dan mengalihkan pokok tumbang serta membersihkan kawasan terjejas.
"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan waspada berikutan ramalan cuaca waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga 19 September ini (esok)," katanya
Haisul Aishah berkata, orang awam di Daerah Sik boleh menghubungi APM Sik di talian 010-8177991 atau talian kecemasan 999 jika terdapat sebarang kes kecemasan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1299975/32-laporan-kes-pokok-tumbang-dalam-tempoh-10-minit-di-sik-apm
|