CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 62706|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pelajar buta, Orang Asli ke menara gading, mahu jadi inspirasi buat keluarga

[Copy link]
Post time 5-10-2024 12:21 PM | Show all posts |Read mode
Pelajar buta, Orang Asli ke menara gading, mahu jadi inspirasi buat keluarga


BERNAMA






AISHAH (tiga dari kiri) berkongsi kegembiraan pada pendaftaran sidang akademik 2024/2025 USM. FOTO Danial Saad




Georgetown: Hilang sebelah penglihatan akibat terkena mercun bola ketika berusia lima tahun tidak menghalang Siti Nur Aishah Abdul Rani berusaha untuk menggapai cita-cita menjadi seorang pendidik.

Siti Nur Aishah, 19, yang gembira apabila ditawarkan menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ilmu Kemanusiaan, sememangnya amat mengimpikannya sejak di bangku sekolah lagi.

Malah, lebih bangga lagi apabila anak ketiga daripada lima beradik itu adalah individu pertama dalam keluarga yang menjejakkan kaki ke menara gading sekali gus mahu menjadi contoh dan inspirasi kepada adiknya yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Mata kiri saya gagal diselamatkan menyebabkan saya hilang penglihatan secara kekal, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk berusaha meskipun berdepan pelbagai halangan kerana hanya bergantung sepenuhnya pada mata kanan.

"Selain buta, saya juga mengalami skoliosis (tulang belakang bengkok) dan slip disc, jadi ia membuatkan pergerakan saya agak terbatas, namun saya sangat bersyukur kerana USM tetap menawarkan tempat untuk saya melanjutkan pelajaran," katanya ketika ditemui pada sidang media bersempena dengan pendaftaran pelajar baharu ke USM bagi program ijazah sarjana muda sesi 2024/2025 di Dewan Utama Desasiswa USM di sini.

Nur Aishah yang tinggal di Kampung Kuala Mengkuang, Bukit Mertajam turut mendedikasikan kejayaannya pada hari ini sebagai hadiah buat ibu Siti Kholijah Othman, 47, yang telah bersusah payah menyara keluarga dengan berniaga pisang goreng selepas kematian bapanya pada 2012 akibat terjatuh dari pokok rambutan.

Sementara itu, pelajar Orang Asli Khaikal Jaafar, 19, daripada suku Temiar dan Semai, berkata meskipun sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga, demi azam untuk mengubah nasib diri dan orang tua, dia sanggup merantau seorang diri ke Pulau Pinang.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata ayahnya Jaafar Yok Tah Toh, 60-an, hanya bekerja kampung mengutip hasil hutan manakala ibu Rohani Uda, 48, tidak bekerja serta abang, kakak dan adiknya hanya belajar setakat darjah enam dan tingkatan lima menjadikan dia satu-satunya dalam keluarga yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya masuk ke universiti.

"Jadi, saya mahu buktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya dan menjadi contoh bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga anak Orang Asli lain. Sebab itu saya bercita-cita mahu menjadi seorang guru pendidikan khas supaya saya dapat berbakti semula kepada masyarakat Orang Asli," katanya yang berasal dari Simpang Pulai, Perak.

Turut mendaftar di USM ialah pasangan kembar seiras Ainul Mardhiah dan Ainul Kamilah Zolkiffly, 19, yang memberitahu mereka tidak pernah berpisah justeru gembira apabila ditawarkan ke universiti dan jurusan sama iaitu perakaunan.

"Ini permulaan buat kami untuk mengejar cita-cita menjadi akauntan dan lebih penting mahu membalas jasa ibu yang merupakan seorang ibu tunggal," kata mereka yang turut berniaga pin tudung di aplikasi TikTok selama dua bulan bagi menampung kos pengajian.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata sebanyak 4,807 pelajar baharu iaitu 3,107 perempuan dan 1,700 lelaki mendaftar bagi mengikuti program ijazah sarjana muda (sepenuh masa) dan diploma di USM bagi semua saluran kemasukan pada sidang akademik 2024/2025.

"Bagi kategori B40, sebanyak 1,500 calon ditawarkan melalui saluran perdana (UPU) di ketiga-tiga kampus USM yang merangkumi 31.2 peratus daripada keseluruhan pelajar sejajar inisiatif melalui agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

"USM turut menyahut hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan melaksanakan Program Siswa SULUNG Malaysia yang bertujuan membantu anak-anak daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga terbabit melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan sehingga kini, 1,008 pelajar telah menerima tawaran dengan 200 pelajar ditawarkan pada Sidang Akademik 2024/2025," katanya.

Selain itu, beliau berkata perhatian juga diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi penawaran tempat kepada 20 calon sekali gus membolehkan mereka menikmati kemudahan kelas pertama di Desasiswa Aman Damai yang menyediakan fasiliti mesra OKU, seperti tandas khas, platform kerusi roda, dan parkir kenderaan yang berhampiran dengan bilik.

"Pendaftaran tahun ini juga mencatatkan beberapa keunikan apabila kita menerima 10 pasangan kembar selain empat pelajar Orang Asli, menunjukkan komitmen USM terhadap pendidikan inklusif. Di samping itu, seorang pelajar Siswa SULUNG yang tergolong dalam golongan OKU turut mendaftar, menunjukkan semangat luar biasa untuk mencapai kejayaan," katanya.



Disiarkan pada: Oktober 5, 2024 @ 12:06pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1141105/pelajar-buta-orang-asli-ke-menara-gading-mahu-jadi-inspirasi-buat-keluarga





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 08:21 PM GMT+8 , Processed in 0.285388 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list