Jualan sektor hartanah disasar cecah RM200 bilion hujung tahun - Kor Ming
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Oktober 5, 2024 @ 4:47pm[email protected]
Kor Ming (tengah) bergambar bersama pemilik rumah pada Majlis Penyerahan Kunci Ideal Residency di Residensi Bukit Gelugor, Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong
GEORGETOWN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yakin jualan sektor hartanah dalam negara mencecah hampir RM200 bilion penghujung hujung tahun ini, meningkat kira-kira sekali ganda daripada sasaran asal.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata, ia mengambil kira jualan sektor hartanah dalam negara yang mencapai RM100.5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Sukacita dimaklumkan Januari tahun ini KPKT tetapkan jumlah sasaran jualan sektor hartanah sebanyak RM100 bilion.
"Kita amat bersyukur kerana mencapai tahap indeks prestasi utama (KPI) itu dengan jumlah jualan sektor hartanah dalam negara mencapai RM100.5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama.
"Jika segalanya berjalan lancar, kita akan capai jualan hampir RM200 bilion menjelang hujung tahun ini," katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Bukit Gelugor di bawah projek PR1MA di sini, hari ini.
Kor Ming optimis jumlah jualan sektor hartanah yang menunjukkan kadar peningkatan akan merancakkan lagi ekonomi dan pada masa sama, 200 industri lain yang berkait rapat sektor itu turut mendapat manfaat dan impak positif.
"Ini termasuk kontraktor, subkontraktor, perabot, elektrik, perbankkan, perundangan dan pelbagai lagi.
"Apabila sektor hartanah berkembang baik, khususnya rumah mampu milik, kita akan dapat mewujudkan lebih banyak ruang dan peluang pekerjaan untuk semua yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPKT sedang membangunkan perisian data analitik yang akan dibekalkan kepada pemaju bagi melakukan analisis lebih tepat dalam usaha memastikan pemaju perumahan membina rumah mengikut keperluan supaya tiada hartanah tidak terjual.
"Kita percaya data analitik itu boleh membantu pemaju perumahan melakukan analisis lebih tepat dalam menentukan kawasan, jenis rumah dan kos yang sesuai.
"Ini bertujuan mengelak pembinaan hartanah tidak terjual atau (menjadi) projek gajah putih (selepas siap)," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307026/jualan-sektor-hartanah-disasar-cecah-rm200-bilion-hujung-tahun-kor
|