'3 kali pindah ke PPS tak sampai sebulan, penat cuci rumah pun belum hilang' - Mangsa banjir
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 7, 2024 @ 4:02pm [email protected]
Zainol Abidin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Padang Halban. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
CHANGLUN: Tiga kali terpaksa berpindah akibat banjir dalam tempoh kurang sebulan. Itu nasib menimpa penduduk Kampung Padang halban, di sini, Sharmeeliana Majid, 42.
Terkini hujan lebat menyebabkan kediamannya sekali lagi dinaiki banjir awal pagi semalam, memaksa Sharmeeliana kembali berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.
"Rumah saya bersebelahan Sungai Laka, jadi air yang melimpah masuk terlalu cepat ke dalam rumah setiap kali hujan lebat.
"Saya terpaksa bawa emak, Rohada Bakar, 59, yang tidak dapat berjalan akibat penyakit saraf serta dua anak perempuan berusia 16 dan 18 tahun ke PPS berhampiran.
"Adik lelaki saya, Mohd Hafizi, 33 dan isterinya juga berpindah ke situ kerana air naik terlalu cepat hinggakan banyak barangan dalam rumah dihanyutkan air banjir," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Sharmeeliana berkata, dalam kejadian pertama 18 September lalu, dia dan keluarga sempat mengangkat barangan dalam rumah terutama peralatan elektrik dan perabot ke tempat tinggi sebelum berpindah ke PPS.
Selepas banjir surut dan mereka kembali ke rumah, banjir gelombang kedua melanda seminggu kemudian menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke PPS sekali lagi.
"Kami baru saja pulang ke rumah dari PPS pada 1 Oktober lalu... penat cuci rumah pun belum habis dan kini rumah kami sekali lagi dilanda banjir dan terpaksa kembali semula ke PPS," katanya.
Tambah Sharmeeliana lagi, tahun lalu sahaja, kira-kira 11 kali rumahnya dinaiki banjir, tetapi hanya sekali saja dia dan keluarga berpindah ke PPS.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad menyampaikan sumbangan 200 bungkusan mengandungi barangan keperluan makanan seperti beras, gula, kopi, minyak dan roti kepada setiap mangsa banjir yang terkesan di kawasan Changlun.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1307851/3-kali-pindah-ke-pps-tak-sampai-sebulan-penat-cuci-rumah-pun-belum
|