CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 31232|Reply: 0

[Sarawak] Pantau kemasukan individu, entiti luar ke Sarawak

[Copy link]
Post time 19-11-2024 12:48 PM | Show all posts |Read mode


KUCHING: Pemantauan rapi dan berterusan terhadap kemasukan individu atau entiti luar ke Sarawak untuk tujuan pekerjaan atau menjalankan aktiviti ekonomi perlu dibuat untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, pihak-pihak terbabit perlu mematuhi undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Sarawak serta undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Justeru, katanya untuk mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju dan makmur, aspek keselamatan dan kedaulatan merupakan aspek yang amat penting dan mesti dijaga sebaik-baiknya.

“Ini termasuklah memastikan rakyat kita hidup dalam suasana yang tenteram dan bebas daripada ancaman. Pada masa yang sama kedaulatan Sarawak juga mesti dijaga untuk menjamin keupayaan Sarawak dalam menentukan sendiri hala tuju pembangunan tanpa campur tangan daripada pihak luar,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini.

Menjelas lanjut, Karim berkata perkara berkaitan autonomi imigresen Sarawak secara kukuhnya adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara

161E(4) dan Akta Imigresen 1959/63, yang merangkumi hak eksklusif Kerajaan Sarawak untuk mengatur dan mengawal kemasukan individu ke Sarawak demi melindungi keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Autonomi ini bukan hanya sekadar prosedur urusan imigresen tetapi juga merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Justeru, autonomi ini adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana ia mencerminkan kedudukan unik Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memperkukuh lagi autonomi berkenaan, yang menegakkan hak-hak khas dan unik Sarawak dalam Persekutuan
Malaysia.

Selain itu, Karim berkata Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang menjadi panduan kepada penggubalan MA63, secara jelas menekankan pentingnya Sarawak mengekalkan kawalan terhadap imigresen sebagai langkah melindungi budaya, sosial dan ekonominya.

Pada masa sama, beliau berkata selain autonomi imigresen, Sarawak juga mempunyai kuasa eksklusif terhadap hal ehwal buruh berkaitan pekerja bukan pemastautin, dengan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) mewajibkan semua majikan mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Sarawak sebelum menggaji pekerja bukan pemastautin.

Katanya ordinan tersebut menetapkan penalti berat bagi ketidakpatuhan, termasuk denda dan hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali, sekali gus mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Sarawak untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi kebajikan pekerja di Sarawak.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan secara tegas. Mana-mana syarikat atau pekerja yang didapati melanggar

undang-undang Sarawak akan dikenakan tindakan, termasuk penolakan atau pembatalan permit kerja.

“Ini terpakai kepada semua entiti yang beroperasi di Sarawak. Kepatuhan kepada undang-undang Sarawak adalah asas yang perlu dipatuhi dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak, kerana tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

“Sarawak mempunyai kuasa mutlak untuk tidak membenarkan mana–mana individu, entiti atau syarikat beroperasi di Sarawak sekiranya mereka tidak mematuhi undang–undang yang telah diluluskan dan ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 06:24 PM GMT+8 , Processed in 0.112841 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list