3 nelayan dikhuatiri hilang dekat Pulau Payar
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 11, 2025 @ 5:12pm [email protected]
Anggota Maritim Malaysia melakukan pencarian tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap ikan sejak semalam di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar. - Foto NSTP/Ihsan MARITIM MALAYSIA.
KUALA KEDAH: Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan daripada melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat rawai, sejak petang semalam.
Ketiga-tiga mereka, Asrulhisham Zainon, 47, dan anaknya, Mohd Aiman Asrulhisham dan Mohd Amin dipercayai keluar menangkap ikan di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan telefon daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan yang dibuat oleh adik kepada salah seorang mangsa.
Beliau berkata, bertindak daripada laporan yang diterima, MRSC Langkawi kemudian mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 ke lokasi aduan untuk melakukan pencarian.
"Usaha mengesan bot berkenaan turut membabitkan aset daripada PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti berkata, setakat ini Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1347959/3-nelayan-dikhuatiri-hilang-dekat-pulau-payar
|