CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 29|Reply: 0

[Sarawak] Penjawat awam di Sibu terperdaya 'love scam' rugi RM190,000

[Copy link]
Post time 23-4-2025 01:17 PM | Show all posts |Read mode


SIBU: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM190,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian atau ‘love scam’.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima satu laporan polis daripada mangsa pada 21 April lalu.

Menurutnya, mangsa mengenali suspek yang menggunakan nama Kim Soo Hyun menerusi aplikasi Facebook pada 1 April 2025.

“Sepanjang tempoh perkenalan selama beberapa hari, suspek mendakwa berada di Korea dan sering meminta wang daripada mangsa dengan alasan adiknya menghidap penyakit kanser serta memerlukan kos rawatan yang tinggi.

“Akibat percaya dengan cerita direka suspek dan terperdaya dengan kata-kata manis, mangsa akhirnya membuat beberapa transaksi kewangan seperti yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, bermula 7 hingga 16 April, mangsa telah melakukan sebanyak 25 transaksi pemindahan wang berjumlah RM190,000 ke dalam dua akaun bank tempatan yang berbeza.

“Mangsa turut diminta melakukan lebih banyak pemindahan wang dengan alasan yang tidak munasabah sehingga menimbulkan rasa curiga sebelum tampil membuat laporan polis,” jelasnya.

Susulan laporan tersebut, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpedaya dengan individu tidak dikenali, khususnya yang hanya berkomunikasi melalui laman sosial.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak mudah mendedahkan maklumat peribadi serta elak menjawab panggilan, mesej atau permintaan wang daripada individu yang mencurigakan.

Sebarang maklumat lanjut atau aduan berkaitan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau Facebook CyberCrimeAlertRMP serta melakukan semakan nombor akaun atau telefon yang meragukan melalui laman web https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-4-2025 06:58 PM GMT+8 , Processed in 0.045665 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list