London: Max Verstappen mungkin akan berehat selama setahun daripada Formula 1 (F1) untuk menjaga anak pertamanya yang dijangka lahir pada 6 Mei.
Juara dunia itu mengumumkan pada Disember lalu dia bakal menjadi seorang bapa bersama kekasihnya, Kelly Piquet, anak kepada juara dunia tiga kali, Nelson Piquet.
Namun, pelumba Belanda itu dijangka tidak akan terlepas sebarang perlumbaan memandangkan tarikh jangkaan kelahiran bayi tersebut adalah selepas Grand Prix Miami, memberikannya ruang rehat singkat sebelum perlumbaan di Imola yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Mei.
Masa depan Verstappen bagaimanapun terus menjadi topik spekulasi dan penasihat Red Bull, Helmut Marko, memburukkan lagi keadaan hujung minggu lalu apabila beliau berkata kebimbangan mengenai kemungkinan Verstappen meninggalkan pasukan adalah 'besar'.
Sementara itu, seorang pemandu F1 yang tidak dinamakan menyatakan dia percaya pilihan paling mungkin bagi Verstappen ialah mengambil cuti selama setahun.
Musim hadapan juga dijangka sukar diramal dengan pelbagai perubahan besar bakal diperkenalkan menerusi peraturan baru tahun 2026, menjadikan kedudukan pasukan dan pemandu sukar dijangka.
Mercedes dan Aston Martin disebut-sebut sebagai destinasi berpotensi buat Verstappen.
Namun, ketua pasukan Williams, James Vowles, tidak percaya Verstappen sesuai untuk kembali ke bekas pasukannya, Mercedes.
Vowles menyertai Williams dari Mercedes pada 2023 selepas menghabiskan lebih dua dekad sebagai jurutera di pasukan tersebut.
Beliau juga berkata Toto Wolff lebih baik mengekalkan barisan pemandunya sekarang — George Russell dan Kimi Antonelli.
Vowles berkata :"Bolehkah anda tambah sedikit lagi prestasi? Ya, saya fikir memang ada ruang untuk tambah prestasi melalui Max."
"Saya rasa tiada siapa dalam bilik ini akan menafikan dia luar biasa dalam apa yang dia lakukan. [Prestasi Verstappen di] Jepun benar-benar mengagumkan saya. Tahniah kepadanya."