
(Dari kiri) Dayang Morliah, Awang Tengah dan Henry Sum bersama penduduk memeriahkan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon Ulu Merapok di Pusat Perkhidmatan Mini Ulu Merapok semalam.
LAWAS: Selesaikan segera keperluan bekalan air di blok asrama dan kuarters guru baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Merapok, tegas Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata, isu itu masih belum diselesaikan meskipun telah dibangkitkan beliau sejak tahun lepas.
"Saya telah diberi taklimat oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) setelah kita meningkatkan kapasiti loji air di Merapok kepada dua juta liter sehari (MLD).
“Paip agihan telah siap dipasang sepenuhnya dan saya difahamkan ia sepatutnya dapat diselesaikan bukan tahun ini, tetapi tahun lepas termasuk Mini Service Centre dan kampung-kampung sekitar.
"Jadi perkara ini harus dijelaskan oleh pihak JBALB, kenapa ia masih tergantung?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Zon Ulu Merapok di Pusat Perkhidmatan Mini Ulu Merapok di sini semalam.
Turut serta ialah isteri beliau Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip.
Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, sebanyak RM160 juta telah diperuntukkan di bawah NRDA untuk kerja-kerja penambahbaikan bangunan sekolah dan infrastruktur pendidikan di Limbang dan Lawas.
Katanya, langkah itu merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak bagi memperkasa bidang pendidikan untuk anak-anak di kawasan utara negeri.
Dalam pada itu Awang Tengah mahu semua ketua jabatan, agensi dan badan pelaksana berani menyalurkan maklumat tepat kepada pihak atasan dalam merancang sesuatu projek di kawasan mereka.
Katanya, ia penting bagi memastikan pelaksanaan projek dapat memberi impak maksimum kepada rakyat dan mampu mengelak berlakunya ketirisan atau pembaziran wang negara.
“Saya ingin menyeru kepada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi, badan-badan pelaksana jangan 100 peratus kita ikut sahaja daripada pihak atasan.
“Kita berhak untuk memberi input kenapa kita sediakan tapak baharu untuk Sekolah Ulu Merapok kerana kita tahu tempat yang sedia ada ini dilaksanakan satu projek untuk satu blok pembinaan tempat itu kalau hujan saja dia akan dilanda banjir berkali-kali dalam setahun.
“Kalau peruntukan tak cukup untuk buat sepenuhnya, janganlah membazir, kita buatlah satu blok cukup dan secara berperingkat.
"Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi input-input dan kita mengemukakan cadangan-cadangan,” katanya.
|