
Dr Hazland ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-51 PPKS yang berlangsung di Hotel Dormani Sabtu lalu. - Gambar UKAS
KUCHING: Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak (PPKS) disaran meneroka peluang dalam bidang koperasi dan sektor tenaga sebagai usaha menjana pendapatan serta memperkukuh kelangsungan aktiviti persatuan.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Datuk Dr Hazland Abang Hipni, koperasi berpotensi menjadi instrumen penting bagi menambah sumber kewangan persatuan.
Manakala sektor tenaga katanya pula, membuka ruang baharu untuk penglibatan produktif pesara yang memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.
“PPKS boleh mengambil peluang ini untuk melibatkan diri secara langsung dalam bidang tenaga yang berkembang pesat, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada ahli-ahlinya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-51 PPKS (pemilihan) yang berlangsung di sebuah hotel di sini Sabtu lalu.
Sebagai tanda penghargaan kepada pesara Kerajaan Sarawak yang telah berkhidmat puluhan tahun dalam membangunkan negeri, Dr Hazland turut menyumbang dana berjumlah RM40,000 kepada PPKS.
Mesyuarat agung tahunan kali ini menghimpunkan 150 orang perwakilan dari seluruh Sarawak.
Dalam acara tersebut, Datu Mohamed Sepuan Anu dilantik sebagai presiden baharu PPKS bersama barisan kepimpinan yang lain.
PPKS yang ditubuhkan pada 30 Ogos 1971 kini mempunyai seramai 8,445 ahli, merangkumi 11 Unit Perhubungan Bahagian dan Daerah di seluruh negeri.
Persatuan itu terus memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan ahli serta menggalakkan sumbangan pesara kepada masyarakat.
|