
Johari bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Ke-4 WAIPA di Damai Lagoon Resort hari ini. - Gambar Chimon Upon
SANTUBONG: Inisiatif pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak perlu dijadikan contoh dan diperluaskan ke Semenanjung Malaysia.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau memuji usaha itu kerana ia pendekatan progresif dan luar biasa yang memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan serta masa depan generasi muda Sarawak.
“Saya amat teruja apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa anak-anak Sarawak diberi peluang melanjutkan pelajaran ke universiti secara percuma.
“Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Sarawak kerana inilah peluang yang selama ini dinantikan oleh anak-anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Ke-4 Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (WAIPA) yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Damai Lagoon Resot di sini, hari ini.
Johari berkata, Sarawak bukan sahaja mendahului negeri-negeri lain dalam aspek teknologi dan tenaga, malah kini menjadi peneraju dalam menyediakan akses pendidikan tinggi secara menyeluruh kepada rakyatnya.
“Saya berharap pendekatan seperti ini dapat diperluaskan ke Semenanjung kerana ia memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan generasi muda, khususnya wanita untuk memanfaatkan peluang pendidikan ini demi membina kerjaya dalam bidang-bidang strategik seperti teknologi, tenaga dan inovasi.
“Anak-anak Sarawak terutama wanita, harus merebut peluang ini dan melengkapkan diri untuk menjadi teknokrat, saintis, inovator dan pelopor dalam pelbagai bidang,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) memaklumkan bahawa Malaysia kini sedang meneliti cadangan untuk menggubal undang-undang baharu bagi melindungi wanita, khususnya mereka yang terlibat dalam kepimpinan politik.
Katanya, usaha ini bertujuan menyediakan perlindungan undang-undang kepada wanita yang semakin aktif dalam arena politik namun terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman dan tekanan.
“Antara faktor utama adalah penyertaan wanita dalam politik masih rendah, sekitar 20 peratus, kerana mereka lebih mudah terdedah kepada bahaya, ancaman serta serangan dari dalam dan luar,” katanya.
|