
Tiga ekor kucing ditemui mati rentung dalam kejadian itu semalam.
MIRI: Seorang pemilik kucing tampil membuat laporan polis dengan mendakwa beberapa ekor kucing peliharaannya yang ditempatkan di belakang rumah telah dibakar hidup-hidup dalam kejadian yang menyayat hati awal pagi semalam.
Menurut Michelle Nelly Simon, 26, dari Permyjaya, tiga kucingnya mati rentung manakala seekor lagi mati akibat terhidu asap dalam kejadian sekitar jam 1.20 pagi. "Pada malam sebelumnya, kami sekeluarga mengadakan acara makan-makan secara 'potluck' di rumah dan majlis tamat sekitar jam 11 malam.
"Sewaktu bersiap untuk tidur, saya terhidu bau asap dan menyangka ia datang dari rumah jiran yang mungkin masih membakar sesuatu, namun apabila keluar dari bilik saya mendapati bahagian ruang dapur sudah dipenuhi asap.
"Ketika menjenguk keluar tingkap, saya amat terkejut apabila ternampak api marak dalam sangkar-sangkar kucing yang ditempatkan di bahagian belakang rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.
Melihat keadaan itu kata Michelle, mereka sekeluarga segera bertindak memadamkan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke rumah utama.
"Saya mempunyai 13 ekor kucing peliharaan, sebahagian daripadanya merupakan pemberian daripada rakan dan kenalan sebagai hadiah dan sebahagian lagi kucing jalanan yang diselamatkan.
"Andai kata saya tidak mempedulikan bau asap ketika itu, kemungkinan kebakaran itu juga boleh memusnahkan rumah kami," katanya yang masih bersedih dengan kejadian tersebut.
Michelle memberitahu, pada malam kejadian lima ekor kucingnya ditempatkan di bahagian hadapan rumah manakala lapan ekor lagi ditempatkan di dalam empat sangkar berasingan di bahagian belakang.
Empat ekor kucing yang terkorban dalam kejadian itu bernama Chicki, Jimmy, Remote dan Snow.
"Saya hanya mahukan keadilan untuk kucing-kucing saya.
“Mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya.
“Saya tidak faham bagaimana seseorang boleh bertindak sekejam dan sekeji itu terhadap haiwan tidak berdosa," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Nur Ashyikin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah melawat lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan dalam kalangan pencinta haiwan serta masyarakat tempatan.
Di media sosial, perkongsian tentang kejadian itu telah tular dengan lebih 2,100 perkongsian dan 80 komen yang mengecam tindakan kejam tersebut.
|