CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 19|Reply: 0

[Sarawak] SDNU anjur pertandingan 'betabuh' dan ngajat pada 9 Mei

[Copy link]
Post time 23-4-2025 01:29 PM | Show all posts |Read mode


SIBU: Biro Kebudayaan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu akan menganjurkan Pertandingan 'Betabuh' dan Tarian Ngajat Antara Unit SDNU Cawangan Sibu dan Kawasan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu Tahun 2025 pada 9 Mei depan.

Pengerusi Biro Kebudayaan SDNU Sibu Anyie Angking (gambar) berkata, pertandingan tersebut akan diadakan di Medan Selera Taman Tasik Permai di sini bermula jam 6.30 petang.

"Antara lain pertandingan ini adalah bertujuan merealisasikan usaha untuk mengekalkan warisan budaya dan tradisi kaum Dayak melalui alat muzik tradisional dan tarian tradisional dengan memberi peluang kepada ahli SDNU Sibu (lelaki dan wanita) untuk memainkan alat muzik tradisional iaitu 'tabuh' dan tarian ngajat melalui pertandingan.

"Perkara yang paling penting pertandingan seumpama ini mampu mengeratkan silaturahim antara ahli yang terdiri daripada pelbagai tempat dan umur di samping memperkasakan bakat dan kemahiran ahli SDNU Sibu dalam muzik tradisional dan tarian ngajat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, usaha ini sejajar dengan aspirasi Majlis Seni Sarawak (MSS) dalam mengekalkan warisan budaya bangsa, di samping mempromosikan muzik tradisional dan tarian ngajat kepada masyarakat serta generasi muda.

"Pertandingan 'Betabuh' dan Tarian Ngajat ini diharapkan dapat menarik minat masyarakat dan generasi muda untuk mempelajari dan mengetengahkan bakat mereka dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

"Dengan adanya pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat dan kemahiran bermain alat muzik tradisional serta tarian ngajat dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda kaum Dayak.

"Kemahiran yang ada juga mampu memberi keyakinan kepada mereka untuk mempersembahkan bakat mereka pada masa akan datang terutama pada masa Hari Gawai dan dalam majlis tertentu,” katanya.

Pertandingan ini terbuka kepada ahli SDNU Sibu dan SIDS Sibu yang akan mewakili unit dan kawasan masing-masing.

Setiap unit hanya boleh menghantar antara satu hingga tiga kumpulan sahaja yang terdiri daripada lima ahli satu kumpulan termasuk penari ngajat.

Bagi kumpulan 'betabuh' penyertaan hanya boleh diwakili ahli lelaki dan ahli wanita sahaja, ataupun campuran lelaki dan wanita dalam satu-satu kumpulan.

Bagi tarian ngajat pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita.

Penyertaan pertandingan terhad kepada 20 kumpulan sahaja, justeru kumpulan terawal menghantar borang penyertaan kepada penganjur sahaja yang layak untuk bertanding.

"Dengan ini amatlah diharapkan agar setiap Unit SDNU Cawangan Sibu dan Kawasan SIDS Cawangan Sibu memilih ahli masing-masing dan menghantar borang penyertaan dengan segera iaitu sebelum atau pada 8 Mei ini," tambahnya.

Pemenang akan menerima hadiah yang amat menarik dan lumayan di mana kategori pertandingan 'betabuh' iaitu johan akan menerima sijil, trofi dan wang tunai RM800, naib johan (sijil, trofi dan wang tunai RM600), tempat ketiga (sijil, trofi dan wang tunai RM400) dan lima sagu hati masing-masingnya menerima sijil, trofi dan wang tunai RM50.

Manakala untuk pertandingan tarian ngajat untuk kategori lelaki dan kategori wanita pula johan akan membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM300, naib johan (sijil, trofi dan wang tunai RM250), tempat ketiga (sijil, trofi dan wang tunai RM200) dan lima sagu hati (sijil, trofi dan wang tunai RM50).

Dengan adanya pertandingan seumpama ini, ahli-ahli SDNU Sibu dapat memperkaya pengetahuan mereka dan seterusnya meningkatkan rasa cinta dan bangga akan warisan bangsa mereka sendiri.

Pihak penganjur berharap agar pertandingan ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat dalam meningkatkan minat untuk mengekalkan dan mengembangkan seni dan budaya di Sarawak.

Pertandingan ini dijangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli SDNU yang ingin menonjolkan bakat mereka dan memperkasakan kemahiran dalam bermain alat muzik tradisional dan tarian ngajat.

Dengan ini, besarlah harapan agar semua masyarakat di sekitar Sibu terutama masyarakat Dayak datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program pertandingan ini.

Justeru, sokongan padu daripada pelbagai pihak, diharapkan akan membawa manfaat yang besar kepada pembangunan kesenian dan kebudayaan di daerah Sibu dan negeri Sarawak amnya.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut berkaitan pertandingan tersebut terutama berkaitan borang penyertaan boleh menghubungi Anyie di talian 013-8126382 serta Loryna Leman (0172176797) melalui WhatsApp dan telefon.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-4-2025 06:58 PM GMT+8 , Processed in 0.322333 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list