
Abang Johari menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Majlis Pelancaran Visi Dengan Tindakan Untuk Biodiversiti: Dasar Dan Pelan. Turut kelihatan Abdullah (kiri) dan Abu Bakar (kanan). - Gambar UKAS
KUCHING: Ordinan Biodiversiti Sarawak akan dipinda bagi membolehkan Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) mengkomersialkan hasil penyelidikannya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan sedia ada di bawah Ordinan Biodiversiti Sarawak tidak membenarkan SBC mengkomersialkan hasil penyelidikannya.
Ini katanya telah menyekat peluang SBC menjana pendapatan untuk Sarawak.
“Saya telah memutuskan supaya ordinan tersebut dipinda agar penyelidikan dan komersialisasi boleh dilaksanakan, dan hasilnya dapat dikongsi bersama dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Visi Dengan Tindakan Untuk Biodiversiti: Dasar Dan Pelan (Vision With Action For Biodiversity: Policy And Plan) di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.
Abang Johari (tengah) meneliti buku Pelan Induk Biodiversiti Sarawak sambil disaksikan tetamu kehormat lain. - Gambar UKAS
Menurut Abang Johari, antara hasil penyelidikan yang berpotensi dikomersialkan adalah penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) daripada mikroalga yang melibatkan SBC dalam penyelidikannya.
“SBC tidak boleh menjalinkan sebarang kerjasama komersial dengan pihak berkuasa yang mengetahuinya (potensi mikroalga). SBC rugilah… dan itulah sebabnya kita meminda Ordinan Biodiversiti Sarawak bagi membolehkan penyelidikan serta pengkomersialan untuk manfaat manusia,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan mencerminkan pendekatan berasaskan alam semula jadi dalam pembangunan ekonomi.
Abang Johari turut berkongsi penemuan baharu mengenai sejenis pokok asli yang dikenali sebagai Kalapaya, yang memiliki pertumbuhan pesat serta tekstur kayu lebih baik berbanding akasia.
Pokok itu katanya, berpotensi digunakan dalam penghasilan biojisim untuk penjanaan kuasa hibrid menggunakan campuran biojisim, gas dan hidrogen.
“Malah, dengan campuran hidrogen dan karbon, kita boleh hasilkan gas sintetik. Semua ini perlukan dasar yang sesuai, dan ia penting untuk Sarawak mencapai piawaian ESG (Environmental, Social, Governance),” katanya.
Beliau menegaskan pelan dan tindakan biodiversiti Sarawak harus merangkumi aspek ekonomi, kemakmuran, keterangkuman serta kelestarian alam sekitar.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datu Abdullah Julaihi serta Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) ke Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam Edward Vrkíc.
|