CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21|Reply: 0

[Sarawak] Lelaki mengaku tidak salah tuduhan cubaan membunuh, halang tugas anggota polis

[Copy link]
Post time 23-4-2025 01:34 PM | Show all posts |Read mode


Mark yang cedera akibat kejadian tersebut kini dalam keadaan berkerusi roda diiring polis dan ahli keluarganya ketika berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membabitkan cubaan membunuh dua anggota polis serta menghalang polis yang sedang menjalankan tugas cegah jenayah di Jalan Green di sini, 29 Mac lalu.

Mark Lionel Micheal, 41, membuat pengakuan itu apabila didakwa atas dua pertuduhan yang masing-masing dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan satu tuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret berasingan hari ini.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menetapkan pengurusan kes pada 26 Mei 2025, selain membenarkan Mark bebas dengan jaminan RM3,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan bagi kedua-dua tuduhan cubaan membunuh.

Sementara Majistret Ling Hui Chuan mengarahkan Mark dibebaskan dengan jaminan RM2,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan bagi tuduhan menghalang tugas polis dan menetapkan pengurusan kes pada 27 Mei 2025.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mark didakwa cuba menyebabkan kematian terhadap dua anggota polis lelaki dengan cara memecut laju ke arah kedua-dua anggota berkenaan dan cuba merempuh mereka yang sedang berdiri di atas jalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya antara jam 3.30 dan 3.40 pagi pada 29 Mac 2025 di Jalan Green di sini.



Mark yang cedera akibat kejadian tersebut kini dalam keadaan berkerusi roda diiring polis dan ahli keluarganya ketika berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

Pertuduhan ketiga pula menyaksikan Mark didakwa menghalang seorang anggota polis lelaki daripada menjalankan tugas dengan cara enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri daripada polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah perhentian bas di Jalan Green pada kira-kira jam 3.20 pagi pada 29 Mac 2025.

Mark diwakili peguam Andrew Winston Kaya sementara pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin.

Terdahulu pada 7 April 2025, dua rakan subahat Mark yang turut terlibat sama dalam kes ini iaitu Rogers Diana, 42, dan Desmond Naud, 35, dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas.

Media terdahulu melaporkan, seorang anggota polis yang bertugas cuba menahan sebuah kenderaan 4x4 untuk pemeriksaan, di mana Rogers dan Desmond merupakan penumpang.

Bagaimanapun, Mark selaku pemandu enggan menurut dan memecut laju ke arah jalan menuju ke Wisma Forda.

Polis mengejar kenderaan itu ketika ia membelok ke Jalan Merdeka dan aksi kejar-mengejar itu ditamatkan buat sementara waktu apabila kenderaan itu menemui jalan buntu dan membuat pusingan U.

Polis memberhentikan kereta peronda mereka dan keluar untuk melakukan tangkapan di mana secara tiba-tiba, kenderaan itu memecut laju ke arah anggota berkenaan, cuba merempuh dua daripada mereka yang sedang berdiri di atas jalan.

Bagi mempertahankan diri, salah seorang anggota melepaskan tembakan ke arah Mark, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh pagar kediaman berhampiran.

Mark yang mengalami kecederaan di kedua-dua matanya terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan manakala Rogers dan Desmond ditahan untuk tindakan lanjut.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-4-2025 06:59 PM GMT+8 , Processed in 0.945973 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list