
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini mengenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan ke atas seorang lelaki warga emas kerana menggugut mahu membakar rumah dan merosakkan kereta adik perempuannya.
Majistret Ling Hui Chuan turut menetapkan ikat jamin RM3,000 (tidak didepositkan) dengan seorang penjamin tempatan ke atas Wong Ju Teng, 68 tahun.
Wong hanya mengangguk faham selepas pertuduhan di bawah Seksyen 67 Kanun Prosedur Janayah dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Ling.
Menurut fakta kes, insiden itu berlaku pada 1 Februari 2025, sekitar jam 7.15 malam di sebuah rumah di Jalan Sungai Tengah, Kampung Sagah di sini.
Pengadu, yang merupakan adik perempuan Wong, melaporkan abangnya telah bertindak agresif, menjerit menyatakan niat untuk membakar rumah dan merosakkan keretanya.
Pertikaian itu dilaporkan tercetus apabila pengadu menegur tertuduh yang ketika itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Mahkamah juga diberitahu, ia bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku.
Walaupun tiada kata-kata sebenar yang merupakan ancaman langsung diucapkan dan tiada tindakan diambil yang menimbulkan ketakutan serta-merta kepada pengadu, dia membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang dengan keselamatannya.
Laporan polis dibuat pengadu membawa kepada penahanan Wong.
Pendakwaan kes dilakukan Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala Wong tidak diwakili peguam.
|