
KUCHING: Tindakan seorang lelaki melupuskan Playstation 5 (PS5) yang dicuri dengan menjualnya kepada kedai perjudian menyebabkan dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,500 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tay Eng Kiat, 38 mencuri PS5 itu dari sebuah syarikat peruncitan elektronik dan perabot tempatan di sini.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Tay selepas dia mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tay melakukan kesalahan itu di sebuah kedai perjudian dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Song di sini sekitar jam 2.19 pagi, 12 Disember 2024.
Menurut fakta kes, seorang pekerja syarikat peruncitan elektronik dan perabot berkenaan selaku pengadu, mendapati seunit konsol permainan itu hilang.
Pengadu menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah mengambil unit PS5 tanpa membuat pembayaran pada kira-kira jam 1.24 petang hari sama.
Kerugian dianggarkan RM2,449. Satu laporan polis dibuat untuk rujukan insurans serta tindakan lanjut.
Siasatan polis membawa kepada penahanan Tay dan mendapatkan semula PS5 yang dicuri daripada kedai perjudian, yang dijualnya pada harga RM1,900.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala Tay tidak diwakili peguam.
|