|
Acha terkilan tidak terima kad kahwin IrwansyahHANYA tawa kecil kedengaran tatkala diusik siapa insan bertuah yang bertakhta di hatinya kini selepas namanya tidak terlepas dikaitkan dengan beberapa jejaka popular, apatah lagi bekas kekasihnya, Irwansyah, juga sudah mendirikan rumah tangga.\rBagi Acha Septriasa, kegagalan cinta masa lalu membuatkan dirinya lebih matang mengatur langkah, malah tanpa berselindung mengakui masih menanti cinta yang diharap hadir tanpa dipaksa.\r\n\n\n\n\rBiar ditebak pelbagai persoalan termasuk hubungan lalu, penyanyi dan pelakon popular Indonesia itu mengakui tidak membataskan pergaulan, sebaliknya sedia berkawan dengan mana-mana lelaki asalkan ikhlas.\r\r\n\n\n\n\nBegitupun, Acha yang juga penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing, Cyberjaya, mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya yang bakal selesai setahun lagi, sebelum mengejar cinta.\r“Ya, saya senang begini, solo, tetapi kehidupan saya tidak pernah sunyi kerana sentiasa dikelilingi teman. Bagusnya apabila berada di kuliah, selain belajar kita juga berpeluang berjumpa ramai jejaka hebat,” seloroh si manis yang sememangnya gemar berjenaka itu.\rPertemuan dengan Acha atau nama sebenar Jelita Septriasa, 22, yang diatur Broadway Media bersempena pelancaran saluran baru Astro, Bintang 141 dan Pelangi 142, tidak dilepaskan wakil media begitu saja untuk mengetahui perkembangannya.\rBintang Heart dan Love Is Cinta itu dibawakan khas ke majlis berkenaan berikutan beberapa filem pecah panggung lakonannya bersama Irwansyah antara senarai produk yang bakal mengisi slot saluran baru berkenaan.\r\n\n\n\n\rMasih kekal dengan sikap peramah dan mudah tertawa, Acha juga tidak menolak untuk berkongsi soal perasaan selepas kekasih yang sudah menjalin cinta dengannya selama tiga tahun selamat bergelar suami orang awal tahun ini.\rJika dikatakan sebaik berpisah mereka tidak lagi bertegur sapa, sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dinafikan kerana katanya mereka masih bertanya khabar dan bertegur sapa walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu.\r“Waktu itu saya masih muda, mahu mengejar cita-cita dan kerjaya, manakala Irwansyah pula ingin membawa hubungan kami ke fasa lebih serius, iaitu perkahwinan. Daripada membiarkan dia terus menunggu, lebih baik kami meneruskan haluan sendiri.\r“Memang agak pahit melalui semua itu, tetapi kami harus kuat selain percaya jika ada jodoh, kami akan dipertemukan semula. Nyata takdir tidak menyebelahi apabila dia bertemu jodoh dengan gadis lain. Biar apa pun, saya mendoakan mereka dari jauh,” luahnya penuh makna.\rHanya kesyukuran yang mampu diucapkan apabila insan yang pernah disayangi dilingkari kebahagiaan, cuma dirinya agak terkilan apabila tidak menerima kad undangan perkahwinan untuk hadir pada hari bersejarah itu.\rKatanya lagi, ketika masih solo memang kerap mereka berhubungan, tetapi selepas Irwansyah bergelar suami, Acha cuba menjauhkan diri bagi mengelakkan ada hati yang terluka.\rJadi isteri presiden\rENGGAN membiarkan nostalgia menggugat emosi, ceritanya berbalik kepada kuliah yang pernah direhatkan seketika tahun lalu demi memberikan komitmen terhadap kerjaya seninya.\rBukan meletakkan pelajaran ke tepi, sebaliknya penyanyi lagu Berdua Lebih Baik itu terpaksa mengambil cuti sepanjang tahun lalu sebelum kembali menyudahkan pengajiannya sebaik semester awal tahun ini bermula.\r“Bekerja dan belajar dua perkara berbeza, namun masih memerlukan komitmen jitu. Perlu berkejar merentas lautan membuatkan saya harus membuat keputusan bijak iaitu bercuti setahun.\r“Justeru sepanjang tahun lalu masa saya diperuntukkan sepenuhnya untuk lakonan, nyanyian dan tidak ketinggalan memenuhi siri kempen produk,” katanya yang turut disambar sebagai duta jenama produk penjagaan rambut serta sabun di Indonesia.\rBukan menyepi, jauh sekali mahu meninggalkan arena nyanyian atau lakonan, gadis bertubuh kecil molek yang punya jiwa besar itu masih kerap pulang ke Jakarta dua bulan sekali bagi memenuhi segala tawaran.\rWalau undangan pentas, sinetron dan layar perak tidak serancak dulu, hakikatnya Acha mendambakan karya yang benar-benar meninggalkan kesan atau dalam erti kata mudah biarlah kemunculannya dirasai lebih bersandarkan kualiti, bukan disebabkan kuantiti.\r“Saya tidak nafikan ramai bakat baru muncul, muda dan lebih segar. Ini semua persaingan sihat kerana apabila wujudnya perlumbaan, kita akan berusaha menonjolkan hasil kerja terbaik, malah sentiasa ingin mencuba perkara baru.\r“Harapan saya, biarpun hanya satu filem setahun impaknya meninggalkan kesan kepada khalayak apatah lagi kini masa saya lebih banyak di Kuala Lumpur berbanding Jakarta,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Australia sebaik menamatkan Ijazah Sarjana Muda akhir tahun ini.\rAdakah Acha mahu melarikan diri jauh dari Indonesia atau Malaysia? Sambil tersenyum katanya, adiknya yang belajar di negara kanggaru itu mahu dia menemaninya apatah lagi keinginan untuk belajar setinggi yang boleh tidak pernah padam.\r“Sebenarnya saya masih berkira-kira mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana atau menumpukan perhatian terhadap pembikinan album penuh. Apa pun saya akan memperhalusi segala-galanya kerana hujung tahun ini juga saya akan ke lokasi penggambaran filem,” katanya.\rBercakap soal filem, kongsinya lagi pada November ini dia akan sibuk semula di lokasi sebuah filem sejarah berkisar kehidupan presiden Indonesia yang terawal, Soekarno dan isterinya, Utari. Dia dilamar membawakan peranan sebagai wanita pertama bagi filem berjudul Nine Reason yang juga memaparkan kisah sembilan isteri mantan presiden terbabit.\r“Sudah pasti watak dan filem ini antara cabaran terbesar saya memandangkan ia sebuah naskhah berkaitan sejarah negara kelahiran saya sendiri. Saya sendiri teruja sebaik diajukan peranan terbabit.\r“Bagaimanapun, saya belum boleh lagi bercerita lanjut atau berkongsi kronologi kisah. Kita tunggu saja nanti tetapi saya sendiri akan membuat kajian sebelum turun ke lokasi,” akuinya yang tidak mampu menyembunyikan debar di hati\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|