|
Ratusan kedai di satu lokasi, pelbagai jenis buku termasuk asing pada harga murahKAGUM seketika waktu sampai di Pasar Buku Palasari, Bandung. Terletak tidak jauh dari pusat bandar, pasar ini menghimpunkan lebih 200 kedai dengan pilihan pelbagai buku. Dari buku teks sekolah atau universiti, buku umum hinggalah novel dan buku sastera. Semuanya dijual pada harga 15 hingga 30 peratus lebih murah berbanding di kedai besar seperti Gramedia.\rAsalnya pasar buku ini terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat tidak jauh dari lokasi sekarang. Tingkat bawah adalah pasar basah menjual ikan dan sayur. Namun, berlaku kebakaran pada 1991 mengakibatkan bangunan berkenaan ranap. Setahun kemudian, pasar buku dibangunkan kembali di Jalan Palasari. \r\n\n\n\n\rPasar buku ini sangat popular di Bandung terutama di kalangan mahasiswa universiti di sekitarnya Institut Teknologi Bandung (ITB), Universiti Negeri Padjadjaran (Unpad) dan Universiti Parahyangan Katolik (Unpar).\r\r\n\n\n\n\nMenariknya, kedai di pasar buku menjual buku secara khusus. Jika mahu mencari buku teks, ada kedai khas untuknya. Begitu juga jika mahu mencari buku sastera, terutama koleksi yang hampir sukar ditemui di kedai buku biasa.\rJika anda bijak, boleh saja tawar-menawar sebelum membeli. Kalau ada banyak masa pula, singgahlah di beberapa kedai sebelum membeli buku kerana harganya berbeza, meskipun selepas ditawar.\rMeskipun harganya rendah, pasar buku ini bukanlah pasar buku haram. Penjual memberi harga lebih murah kerana memperoleh bekalan buku terus dari penerbit, dengan sesetengah buku yang dijual disebut sebagai buku bekas atau buku terpakai dan status buku dimaklumkan pekedai. Seperkara lagi, harga buku yang murah kerana kebanyakan kedai tidak disewa, sebaliknya milik sendiri yang diwarisi daripada datuk atau bapa. \rDani Hamabalina, 44 tahun, antara pemilik kedai buku yang sempat ditemui, mewarisi kedai daripada bapanya yang awalnya dimiliki datuk Dani yang memulakan perniagaan menjual buku sekitar 1970-an.\r\n\n\n\n\rDani memberitahu Sastera, umumnya kedai akan dibuka seawal jam lapan pagi dan ditutup sebelum maghrib sekitar jam tujuh malam, manakala pada Ramadan, perniagaan berjalan seperti biasa, selain mereka hanya akan menutup kedai untuk berbuka serta solat sebelum membukanya semula.\r“Selalunya pasar buku ini menjadi tumpuan pada Jun hingga Ogos iaitu waktu mula semester universiti. Namun saya tidak boleh bergantung pada buku sekolah atau buku universiti saja. Saya ada juga menjual buku sastera. \r“Umumnya pembeli akan datang untuk mencari judul yang sukar ditemui di kedai biasa. Kadang kala saya boleh mengagak koleksi sastera yang sukar ditemui itu selalunya membabitkan karya besar, misalnya karya Ahmad Tohari atau Pramoedya Ananta Toer,” katanya.\rMeskipun ada sesetengah buku disifatkan sebagai sukar ditemui, namun harganya masih sama. Ia dijual pada harga antara 50 ribu - 100 ribu rupiah.\r“Ada juga yang mencari buku Seno Gumira Ajidarma, tetapi rata-rata pengunjung mencari buku sastera tulen bukan sastera popular macam Andrea Hirata,” katanya.\rSeorang lagi penjual Very Daliasni, 40 tahun, juga mewarisi perniagaan daripada bapanya, tetapi untuk memastikan pasarannya lebih luas, kedainya turut mengendalikan perkhidmatan menjual buku secara dalam talian yang dibangunkan adiknya. Khidmat palasarionline.com sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan baik bukan saja daripada warga Indonesia, malahan ada pelanggan mereka dari Malaysia.\r“Kalau bukan awal semester, biasanya pada hujung minggu pasar buku ini jadi tumpuan ramai. Pada Ramadan pun, alhamdulillah perniagaan masih baik, walaupun kurang berbanding biasa. Orang berpuasa pun masih perlu membaca. Biasanya mereka cari buku agama atau al-Quran,” katanya.\rDina dan Very adalah dua peniaga yang menjual buku rencam, namun Asasmita, 50, peniaga yang hanya menjual buku sastera saja, mula berniaga pada 1980-an dan kedainya menjadi tumpuan mereka yang mencari buku sastera.\r“Soal untung itu sangat subjektif. Tapi kepuasan itu lebih utama, sebab itu saya memilih untuk mengkhusus buku sastera. Di sini, apa saja buku sastera sama ada teori atau novel, boleh ditemui. Karya Pramoedya antara yang paling dicari. Mungkin sebab itu novelnya dicetak semula, manakala buku puisi pula, sekarang warga tempatan mencari buku Acep Zam Zam,” katanya.\rSeorang pengunjung yang sempat ditemui ialah Amar Faishal dan antara pelanggan setia Asasmita yang kerap berkunjung ke kedainya mencari buku sastera terbaru.\r“Di kedai Asasmita, saya boleh dapat kebanyakan buku yang saya mahu. Lagipun kedai ini hanya menjual buku sastera. Lebih mudah hendak dicari. Ketika Indonesia masih mengharamkan karya Pramoedya, saya membelinya di Kuala Lumpur. Alhamdullilah sekarang saya boleh membelinya di Palasari,” katanya.\rMenariknya, hampir semua kedai buku di Palasari menawarkan perkhidmatan membalut buku secara percuma dan hebatnya Pasar Buku Palasari bukan kerana ia menghimpunkan ratusan kedai buku. Sebaliknya kerana anda boleh memperoleh buku laris di pasaran termasuk carta New York Times dalam masa sangat cepat dan lebih hebat, kesemua buku itu dalam bahasa Indonesia.\r
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|