|
Apakah novel Ayat-ayat Cinta pemula sastera Islam?DEFINISI sastera Islam sering menjadi polemik kebelakangan ini. Jika di Indonesia, kebangkitan karya sastera Islam bertujuan menenggelamkan aliran sastera sekular yang menjurus kepada karya berunsur seks, di Malaysia sastera Islam pula kelihatan seolah-olah bangkit akibat penangan novel dan filem Ayat-Ayat Cinta karya Habiburahman El-Sharazy.\n\n\n\nDi Malaysia juga, sastera Islam masih dibayangi unsur popular dan kisah yang digarap masih dalam lingkung cinta ustaz-ustazah atau berlatarkan Asia Barat. Apakah sekecil itu definisi sastera Islam?\n\n\n\n\n\nPengarang tersohor Indonesia, Ahmad Tohari menyifatkan sastera Islam berdiri atas definisi yang sangat luas dan sejagat, malahan secara peribadi, beliau yang pernah dikunjungi Habiburahman ketika dia ingin menghasilkan Ayat-Ayat Cinta.“Saya gembira dengan senario hari ini apabila novel Islam diterima dengan baik. Saya berhasrat dan berdoa ia menjadi aliran sastera yang besar. Bagaimanapun, kita jangan terlalu menyempitkan definisi sastera Islam. Sastera Islam janganlah berlatar Mesir atau Palestin atau wataknya itu ustaz atau ustazah“Islam dengan sifatnya yang sejagat, memiliki ribuan persoalan yang boleh diangkat. Bukankah pembelaan pada kemiskinan atau perpaduan itu juga agenda dalam Islam? Islam tidak terhad pada kisah memeluk Islam. Jangan merayakan isu penghijrahan agama, jangan menistakan sesiapa pun walau apapun kepercayaannya.“Apa yang perlu kita buat adalah mempertahankan agama kita. Soal dia mahu menjadi Islam atau tidak, itu hak dia. Itu antara dia dengan tuhan. Islam pun tidak disebar dengan mata pedang, bukan?. Novel Islam perlu bersifat sufi.” tegasnya pada pertemuan dengan Sastera di Bogor, baru-baru ini.Ronggeng Dukuh Paruh (RDP) karya Ahmad menjadi polemik ketika mula berada di pasaran dan diperkatakan hingga kini kerana ia naskhah yang mengangkat kisah perempuan pelacur, lalu dilihat sebagai karya tidak Islam atau porno sehingga Ahmad pernah ditanya seorang tokoh agama, apa yang beliau mahukan apabila menulis RDP? “Jawapan saya mudah, terjemahan ayat Kursi berbunyi “... kepunyaan Allahlah yang ada di langit dan di bumi,” adalah pegangan saya. Bacalah dengan ikhlas dan dalamilah maknanya, kamu akan tahu jawabnya. Ronggeng itu duduknya di mana?“Saya mahu menulis supaya orang mendapat hikmah daripadanya. Bacalah dengan hikmah kerana kalau hendak melihat dari sudut negatif, banyak yang boleh kita cari , tetapi bagaimana dengan sudut positifnya? Adakah kita mahu menafikannya juga? Bukankah perempuan muda kalau menjadi tua pun sudah tidak cantik? Baca dengan bismirab dan sampaikan ilmu tuhan. Islam itu sangat luas, menjenguk tetangga yang sakit juga anjuran Islam,” tegasnya.Novelis Nisah Haron pula berpendapat, karya Islam mestilah mampu menarik khalayak pembacanya dan bukan sekadar sarat dengan khutbah, tetapi disampaikan penuh bijaksana.“Saya tidak membayangkan sastera Islam ialah karya fiksyen yang lahir selepas fenomena Ayat-Ayat Cinta. Pada saya novel Imam karya Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain ialah karya sastera Islam. Karya yang lahir selepas AAC ialah karya pop Islami atau bernuansa Islam. Nuansanya terasa Islami kerana watak wanita berjilbab dan lelaki kelihatan tawaduk dan beriman, namun persoalan yang dibawakan masih lagi hal rumah tangga dan percintaan juga,” katanya yang berpegang kepada pendirian bahawa sastera Islam perlu mengangkat isu lebih besar daripada itu. Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Prof Dr Morshidi Muhammad pula berpendapat, sastera Islam sewajarnya dihasilkan penulis yang memahami dan mengamalkan Islam sebaiknya kerana ia bukan hanya melambang pemikiran atau menyebarkan falsafah keIslaman ia juga adalah wahana dakwah.“Apa guna menulis karya Islam kalau penulisnya tidak memaparkan ciri keIslamannya? Ini bermaksud tidak amanah dalam menyebarkan nilai Islam dan ilmu Allah. Pada akhirnya yang dicari hanyalah duit dan bukan menyebarkan dakwah atau roh Islam. Benar, bukan tugas kita menentukan syurga dan neraka, namun kita lakukanlah amalan yang menuju syurga seperti mana yang dituntut dalam Islam,” tegasnya.Ketua Forum Lingkar Pena dan novelis Islam Indonesia, Asma Nadia menyifatkan sastera Islam itu adalah senjata paling utama bagi melawan musuh Islam. Jika Salman Rushdie dan Taslima Nasreen boleh melakukannya menerusi The Satanic Verses dan Lajja, mengapa tidak penulis Islam menulis naskhah mengenai keindahan dan kebenaran dalam Islam.“Sastera Islam adalah senjata untuk kita melawan musuh. Melawan dengan cara penulisan kerana di situ letaknya identiti bangsa,” tegasnya.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|
|
|
|
|
|
| |
|