|
MODEL pemasangan tempatan (CKD) bagi Volkswagen Passat dan Polo hasil jalinan pakatan antara DRB-Hicom Bhd dan Volkswagen AG (VW) akan mula dikeluarkan menjelang akhir tahun ini, kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM), Ricky Tay.\rDua model kenderaan penumpang menerusi kerjasama konglomerat automotif Malaysia dan syarikat automotif terbesar Eropah itu, akan dipasang di kompleks automotif, Pekan, Pahang.\r\n\n\n\n\r Katanya, pengeluaran model CKD itu, akan mengukuhkan usaha VW meningkatkan penguasaan pasaran di negara ini kepada 10 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sejajar dengan hasratnya menjadi peneraju pasaran bagi kenderaan bukan nasional di Malaysia.\r\r\n\n\n\n\n Setakat Jun lalu, pengeluar kenderaan berpangkalan di Wolfsburg, Jerman itu di negara ini adalah 1.4 peratus, lebih tinggi berbanding 0.2 peratus tahun lalu.\rSejak VGM ditubuhkan pada 2006, jenama ini mengalami pertumbuhan pesat dengan kadar jualan kira-kira 700 unit kenderaan sebulan di pasaran Malaysia, katanya pada sidang media sempena Volkswagen Das Auto Show 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.\rHadir sama, Naib Presiden Kanan Pengeluaran Luar Negara Volkswagen Group, Dr Christof Spathelf dan Ketua Bahagian Jualan China dan ASEAN, Wei Ming Soh.\rSebelum ini, Volkswagen Passat dan Polo, masing-masing adalah model diimport sepenuhnya (CBU), dijual pada harga RM254,888 dan RM108,888.\r\n\n\n\n\rDisember lalu, DRB-Hicom dan VW memeterai perjanjian kerjasama eksklusif dan pelesenan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.\rMenerusi perjanjian itu, ia membolehkan DRB-Hicom memasang dan mengeluarkan kenderaan jenama VW di Malaysia dan konglomerat automotif tempatan itu dijangka mengeluarkan kira-kira 30,000 unit kenderaan jenama terbabit setahun menjelang 2015, sebelum ditingkatkan lagi pengeluarannya kepada 60,000 unit pada 2020.\rPakatan strategik yang membabitkan pelaburan permulaan hampir RM1 bilion itu, turut memperlihatkan komitmen dan keyakinan tinggi VW terhadap persekitaran pelaburan dan perniagaan di negara ini sekali gus akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di ASEAN.\rDalam perkembangan sama, Ming Soh berkata, Volkswagen Group yang turut mengeluarkan kenderaan berjenama Audi, Porsche, Bentley, Bugatti, Lamborghini, Seat, Skoda dan Scania merekodkan jualan lima juta unit dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini di seluruh dunia.\rDaripada jumlah itu, kenderaan penumpang VW menyumbang jualan kira-kira tiga juta unit, manakala dari segi jenama pula, ia mencatatkan pertumbuhan kukuh pada kadar 16 peratus di rantau Asia pasifik, katanya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|