View: 2130|Reply: 0
|
Ulasan Huawei Ascend Mate 7
[Copy link]
|
|
Ulasan Huawei Ascend Mate 7 : Phablet Gergasi Dengan Pengimbas Cap Jari
Phablet bersaiz gergasi masih boleh dianggap peranti niche di pasaran. Walaupun memberi paparan skrin yang lebih besar, saiz peranti yang besar menyukarkan penggunaannya dengan sebelah tangan. Huawei Ascend Mate 7 ialah sebuah lagi phablet gergasi yang bersaing secara terus dengan Xperia Z Ultra dan HTC One Max.
Ia mempunyai skrin 6″ IPS LCD HD Penuh dan sekilas pandang mempunyai rekaan yang sama dengan HTC One Max. Pemproses lapan teras HiSilicon Kirin 925 (1.8 GHz + 1.3 GHz) digunakan dengan RAM 2 GB dan muatan dalaman 16 Gigabyte. Terdapat juga versi 32 Gigabyte dengan RAM 3 Gigabyte. Sokongan kad MikroSD adalah sehingga 128 Gigabyte. Kemampuan optik ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kapasiti bateri pula ialah 4100 mAh. Pada wal tadi kami katakan peranti ini menyerupai HTC One Max dan sama seperti One Max terdapat pengimbas cap jari pada bahagian belakang di bawah lensa kamera. Lensa kamera belakang terjojol keluar sedikit dari tubuh peranti seperti sebuah iPhone 6.
Lokasi pengimbas cap jari mungkin agak aneh di bahagian belakang. Ini berbeza dengan pengimbas cap jari iPhone dan juga Samsung yang terletak di butang home hadapan. Tetapi bagi sebuah phablet gergasi lokasi pengimbas di bahagian belakang adalah lebih munasabah. Jari telunjuk boleh dilekapkan pada pengimbas ketika jari lain menggenggam tubuh peranti.
Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam. Bateri tidak boleh ditanggalkan dan slot SIM pada sisi sebelah kiri adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum. Slot SIM kedua juga berfungsi sebagai slot kad MikroSD. Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan. Slot pengecas pula terletak pada bahagian bawah,pembesar suara mini terletak pada bahagian belakang dam jack fon kepala pada bahagian atas.
Antaramuka Emotion UI 3.0
Android 4.4.2 digunakan dengan antaramuka Emotion UI 3.0. Antaramuka ini tidak menyertakan talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun diletakkan pada skrin utama. Tema antara muka boleh diubah tetapi hanya enam tema berbeza disertakan. Tidak ada pilihan memuat turun tema baru seperti yang diberikan oleh MiUI dan Touchwiz baru. Kustomasi lain yang boleh dilakukan ialah animasi apabila skrin ditatal serta saiz susunan grid pada skrin. Pilihan yang diberikan ialah 4×5,4×5 dan 5×5. Kerana saiz skrin Mate 7 yang cukup besar, pada tetapan 5×5 sekalipun ikon tidak nampak berserabut.
Seperti antaramuka LG, butang navigasi pada bahagian bawah skrin boleh diubah mengikut kehendak anda. Butang multi tasking boleh diletakkan pada bahagian kiri ataupun kanan butang home dengan mudah. Terdapat juga pilihan untuk meletakkan butang khas untuk membuka talam notifikasi. Fungsi khas untuk phablet ini memudahkan penggunaan Mate 7. Jari tangan tidak perlu bergerak ke atas untuk menarik talam notifikasi ke bawah seperti biasa.
Fungsi khas phablet lain yang disertakan ialah fungsi antaramuka sebelah tangan. Apabila ia diaktifkan butang navigasi boleh dirapatkan ke kanan ataupun ke kiri skrin. Ini dilakukan dengan menyengetkan peranti ke kiri ataupun ke kanan. Sengetkan peranti ke kiri dan kesemua ikon butang navigasi akan bergerak ke bahagian kiri. Kesemua butang navigasi lebih mudah diakses oleh jari di dalam mod ini.
Sungguhpun begitu tiada fungsi tambahan phablet disertakan seperti memaparkan dua aplikasi serentak pada skrin misalnya. Adalah sedikit merugikan skrin gergasi ini tidak dimaksimumkan penggunaannya dengan keupayaan memaparkan dua aplikasi serentak yang ada pada keluarga Galaxy Note.
Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jari Mate 7 terletak pada bahagian belakang dan bukannya hadapan seperti sebuah iPhone 6. Sebenarnya bagi sebuah peranti gergasi lokasi pengimbas di belakang adalah lebih mesra pengguna. Apabila memegang peranti dengan saiz ini, ibu jari sukar untuk diimbas sekiranya pengimbas diletakkan pada bahagian hadapan.
Pada Mate 7 kami menggunakan jari telunjuk untuk diimbas dan ianya mudah dilakukan menggunakan tangan kiri maupun kanan. Sistem mengimbas Mate 7 membenarkan beberapa cap jari disimpan sekaligus. Proses merekodkan cap jari juga mudah. Setanding dengan proses menyimpan cap jari seperti yang digunakan pada iOS dan juga Galaxy S6 yang kami gunakan sekarang. Proses imbasan juga pantas dengan peranti dinyahkunci hampir serta merta selepas jari diletakkan pada pengimbas.
KameraKamera 13 Megapixel digunakan pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Terdapat pelbagai fungsi tambahan yang disertakan. Salah sebuah fungsi yang menarik ialah fungsi All Focus. Di dalam mod ini gambar yang diambil boleh difokuskan semula mengikut kehendak pengguna. Fungsi Watermark pula membolehkan anda meletakkan grafik seperti tarikh dan cuaca di atas gambar yang diambil.
Antaramuka aplikasi kamera mengingatkan kami kepada antaramuka iOS. Untuk mengubah mod mengambil gambar ataupun video, anda hanya perlu mentatal skrin ke kiri ataupun ke kanan. Gambar 13 Megapixel diambil pada nisbah 4:3. Gambar bernisbah 16:9 hanya boleh diambil apabila kamera ditetapkan kepada 10 Megapixel. Dari segi kemampuan video pula Mate 7 mengambil video pada resolusi 1080P 30 FPS. Mate 7 mempunyai fungsi video HDR tetapi ini hanya boleh diaktifkan apabila resolusi video diturunkan kepada 720P.
Berikut adalah beberapa gambar yang diambil menggunakan Mate 7 pada tetapan 13 Megapixel. Gambar yang diambil adalah baik tetapi sedikit gelap jika dibandingkan dengan keadaan sebenar. Di dalam situasi pencahayaan rendah gambar yang diambil masih lagi baik dengan sedikit sahaja masalah noise boleh dikesan. Untuk perkongsian media sosial seperti Instagram dan Twitter kualiti gambar kamera Mate 7 adalah cukup memandai.
Gambar Mate 7 lebih baik jika dibandingkan dengan gambar 13 MegapixelXiaomi Redmi Note 4Gyang kami ulas sebelum ini. Tetapi di dalam kelas phablet Samsung Galaxy Note Edge/ Notemasih lagi juara dari segi kemampuan kamera. Gambar diambil oleh raja phablet ini lebih tajam, terang dan penghasilan semula warna paling tepat.
Penanda Aras
Pemproses lapan teras HiSilicon Kirin 925 bukanlah pemproses yang digunakan secara meluas seperti pemproses Snapdragon. Sungguhpun begitu apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah baik. Untuk ujian Quadrant, Mate 7 mencatatkan 11465 markah. Untuk Antutu ia mencatatkan 42932 markah dan untuk Futuremark ia mencatatkan 13725. Markah yang dicatatkan adalah cukup baik.
Dari segi kegunaan di dunia sebenar peranti berfungsi dengan pantas dan tatalan skrin adalah lancar. Semua aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan aplikasi permainan 3D boleh dijalankan tanpa masalah. Peranti juga mudah panas walaupun ketika melakukan pemprosesan yang intensif.
BateriBateri sebesar 4100 mAh Ascend Mate 7 memberikan hayat penggunaan yang baik. Pada penggunaan paling berat phablet ini mampu bertahan sehingga 13 jam. Pada penggunaan paling ringan pula ia bertahan selama 46 jam. Tiada masalah untuk peranti ini bertahan selama sehari suntuk pada penggunaan biasa. JIka anda mahukan peranti yang tidak perlu dicas dengan keras Ascend Mate 7 ialah peranti yang anda perlukan.
Kesimpulan
Pasaran phablet gergasi adalah masih kecil dengan Lenovo Vibe X2 Pro, HTC One Max dan Xperia Z Ultra menjadi pesaing terhampir kepada Huawei Ascend Mate 7. Dari segi rekaan peranti ini memang mempunyai kemasan yang baik. Kerangka logamnya kukuh dan selesa dipegang kerana bahagian belakangnya melengkung. Dari ujian penanda aras peranti ini juga mempunyai kemampuan yang baik apabila dibandingkan dengan phablet lain di pasaran. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah besar. Peranti berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah sela masa yang kronik. Fungsi pengimbas cap jari adalah bonus dan hanya One Max mempunyai fungsi yang sama. Pengimbas cap jari yang disertakan berfungsi dengan baik dan kedudukannya sangat sesuai untuk peranti gergasi seperti Mate 7.
Kemampuan kamera adalah sederhana sahaja. Sungguhpun begitu fungsi pemfokusan semula gambar selepas ianya antara fungsi menarik yang disertakan Huawei. Kemampuan bateri pula adalah sangat menakjubkan. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan selama 13 jam. Kami juga berjaya menggunakan peranti ini hampir dua hari dengan hanya satu caj. Ketahanan bateri Mate 7 ialah antara kekuatan utama phablet ini.
Pada harga RM 1799 untuk versi 16GB dan RM 1999 untuk versi 32 GB, Huawei Ascend Mate 7 memberikan nilai yang baik untuk wang anda. Terdapat pelbagai peranti lain dengan skrin lebih kecil dijual pada harga lebih mahal. Ianya phablet gergasi dengan kemampuan yang tinggi pada harga yang munasabah. Jika anda tidak mementingkan jenama dan mahukan phablet gergasi dengan kemampuan yang baik Huawei Ascend Mate 7 harus memasuki senarai pendek anda sekarang.
PRO dan Kelebihan- Rekaan logam yang baik dan kemas. Tegap dan selesa dipegang.
- Kemampuan kamera yang baik bagi sebuah phablet.
- Kemampuan memproses yang baik. Peranti berfungsi dengan lancar dan pantas.
- Hayat bateri yang sangat baik. Bertahan lebih dari 13 jam pada penggunaan berat.
- Kustomasi antaramuka untuk penggunaan sebelah tangan yang baik. Butang navigasi juga boleh diubah mengikut kehendak pengguna.
KONTRA dan Kekurangan- Saiz yang besar menyukarkan penggunaan sebelah tangan.
- Fungsi tambahan tablet sedikit terhad. Belum setanding dengan Galaxy Note.
- Pembesar suara mono.
kredit:www.amanz.my
|
|
|
|
|
|
|
| |
|