Jackson Galaxy dikenali sebagai ‘pendengar si kucing’ dan ‘pakar perangai kucing’ dalam kalangan peminat rancangannya, My Cat From Hell di Animal Planet (Astro saluran 556). Bakal menjejakkan kakinya ke Malaysia tidak lama lagi, ikuti temu bual bersama hos yang serba ceria ini.
Soalan: Bagaimana anda dilatih menjadi pakar dari segi perangai kucing? Jackson Galaxy: Saya berlatih menerusi pengalaman. Saya mula bekerja di tempat perlindungan haiwan kira-kira 20 tahun lalu. Saya dikelilingi oleh kucing. Untungnya, saya tidak mempunyai pengalaman langsung mengenai perangai kucing. Saya tidak pun membesar dengan kucing sebaliknya, saya membesar dengan anjing. Tetapi saya dikelilingi oleh kucing. Ada 50 kucing atau lebih sewaktu saya bekerja yang saya fikir, sangat ketara kucing memang sukakan saya. Dalam bilik yang penuh dengan orang, kucing datang pada saya. Kucing ini perlukan tempat perlindungan, mungkin ada masalah dan apa yang boleh saya lakukan untuknya. Jadi saya pun mula menjaga kucing ini dan banyak membaca. Saya juga bercakap dengan pakar kucing meskipun tidak ramai yang terbabit dalam bidang ini.
Soalan: Kami semua tahu apa yang ada di dalam kotak gitar anda. Apa yang membuatkan anda memilih kotak gitar untuk membawa alat mainan kucing? Jackson Galaxy: Mudah saja. Jika anda pernah lihat mainan kucing yang saya gunakan, ia berupa batang pancing dengan tali dan bulu di hujungnya. Saya gunakannya setiap hari. Dan jika anda memang pemain gitar, memang ia sangat sesuai untuk membawa alat mainan itu.
Soalan: Adakah anda mempunyai jenis kucing yang digemari? Jackson Galaxy: Tidak dan saya tidak pernah bertemu dengan haiwan yang saya tidak suka. Kelakarnya, saya dan isteri ada perjanjian jika satu hari nanti kami berpindah ke rumah baru, kami juga akan membela keldai dan kambing kerana kami berdua memang sukakan keldai.
Soalan: Ceritakan sedikit mengenai buku baru anda, Catification. Jackson Galaxy: Catification adalah kerjasama antara saya dengan Kate Benjamin. Dan Kate seorang pakar dandanan kucing. Sewaktu mula bertemu, saya fikir kami memang sepadan. Tetapi saya hanya berminat untuk menguruskan kucing manakala dia pula berminat membantu manusia menguruskan kucing kerana tiada siapa mahukan kucing mereka menguasai tempat tinggal masing-masing.
Inilah cara menunjukkan bahawa anda boleh menjadikan kediaman cukup menarik untuk pemiliknya dan pada masa sama, masih boleh membela kucing dengan baik. Buku ini pula cukup terkenal dan kami memang gembira. Malah buku baru, Catify to Satisfy, akan diterbitkan akhir tahun ini. Menyebut mengenai Catification Nation, ia satu komuniti di seluruh dunia yang berkongsi segala hal mengenai kucing. Kami juga belajar sesama komuniti ini mengenai kucing.
|