|
SHAH ALAM - Program Nothing To Hide 2.0 untuk mempertemukan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pentas tidak menjadi kenyataan apabila kelibat pemimpin nombor satu negara itu tidak kelihatan.
Program yang baru berlangsung sebentar tadi memperlihatkan Mahathir bersendirian di atas pentas.
Dalam pada itu, menurut moderator program Azhar Harun, pihaknya masih bersedia menunggu kehadiran perdana menteri dalam program tersebut.
"Kita masih berharap pada setiap masa bahawa beliau akan tiba dan kita akan menyambutnya.
"Pintu sentiasa terbuka untuk beliau, mungkin beliau terlewat sebab banyak hal pentadbiran negara perlu diuruskan," katanya ketika memulakan ucapan alu-aluan dalam program tersebut.
Dalam pada itu, katanya lagi wakil daripada pihak Armada juga sudah menyerahkan jemputan rasmi kepada perdana menteri, namun masih belum mendapat jawapan.
"Sehingga kini masih belum dapat jawapan," katanya.
Sementara itu, Mahathir ketika menyampaikan ucapannya beliau berkata, pihaknya ingin memohon maaf sekiranya sesuatu isu yang diulasnya, hanya 'pandangannya sahaja'.
"Harap ada orang nyatakan kenapa jenayah perlu dirahsiakan. Ia bukan rahsia sangat ada yang telah baca dalam laporan itu ada jenayah yang dilakukan oleh pegawai tertinggi MO1.
"Sebab itu beri peluang kepada Najib mungkin ada sebab tertentu merahsiakan laporan-laporan ini. Malang beliau tak hadir saya, terpaksa beri pandangan daripada sudut saya. Saya masih berpendapat apa yang dilakukan itu adalah jenayah," katanya.
Sementara itu dalam program itu, antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir, Khalid Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida Kamaruddin, Ng Sue Lim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan beberapa lagi pemimpin lain.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mo ... tas-pentas-1.718096 |
|