Antara tandas duduk atau tandas cangkung, yang mana satu pilihan anda?
Itu antara dilema rakyat Malaysia satu ketika dahulu. Namun, setelah ramai yang mula menggunakan tandas duduk, ia banyak dibina di pelbagai tempat seperti pasar raya, stesen minyak dan lain-lain.
Bagaimanapun, dilema terbaru rakyat Malaysia ialah terpaksa memilih antara getah paip dengan teknologi terbaru 'bidet bowl' iaitu air yang keluar dari dalam mangkuk tandas pengganti getah paip.
Disebabkan ramai yang tidak biasa dengan kecanggihan, banyak masalah berlaku seperti air yang deras memancut keluar hingga terkena badan pengguna dan lebih dasyat menyebabkan pakaian pengguna basah lencun. Jadi, ada netizen yang menyarankan getah paip digunakan semula berbanding 'bidet bowl'.
Kredit foto: Twitter
Bagi netizen, apa yang disuarakan adalah kepada semua khalayak umur termasuklah warga mas yang pastinya terkial-kial kala mahu menggunakannya. Situasi ini boleh dilihat di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) misalnya yang menyaksikan ramai warga emas kebasahan sebaik sahaja keluar dari tandas.
Mungkin ada yang mengatakan 'bidet bowl' adalah teknologi yang membuatkan lantai lebih kering berbanding getah paip. Malahan ia turut mengelakkan bau hancing. Kenyataan ini turut dipersetujui oleh netizen lain yang tidak selesa menggunakan tandas 'bidet bowl'.
Kredit foto: Internet
Selain lapangan terbang, situasi sama turut dihadapi di pasar raya yang menyediakan lebih banyak tandas 'bidet bowl' berbanding getah paip. Ia menyebabkan ramai orang Melayu khususnya beratur untuk menggunakan tandas ini walaupun ia hanya satu berbanding tandas duduk.
Namun, tidak semua bersetuju dengan pendapat ini kerana ada yang menyatakan menggunakan tandas getah paip sebenarnya lebih kotor berbanding 'bidet bowl'. Ini kerana ramai juga tidak pandai menggunakannya seperti getah berada di lantai, bukannya disangkut di tempatnya, hos getah berada di dalam mangkuk tandas, hos getah berselirat hingga sukar pengguna seterusnya menggunakannya.
Kecanggihan teknologi adalah sesuatu yang diperlukan bagi negara membangun. Jadi, mungkin pihak pemaju boleh meletakkan arahan atau cara yang lebih lengkap bagi menggunakan 'bidet bowl' siap dengan arahan bergambar supaya lebih ramai orang boleh menggunakannya. Kalau anda pula, bagaimana? - CARI
|