|
KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada Ahad ini (24 Sept) dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 24 Okt.
Ketua Unit Falak Sekolah Pengajian Umum, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) kampus Kusza, Roslan Umar berkata jika tarikh itu digunakan, umat Islam akan berpuasa selama 30 hari.
Beliau berkata berdasarkan data yang diperolehi dari Balai Cerap UDM di Merang dekat Setiu, pada 29 Syaaban bersamaan 22 Sept, ijtimak (peralihan fasa) berlaku pada pukul 7.43 malam atau selepas solat Maghrib.
"Ini bermakna syarat yang paling asas tidak dipatuhi pada 22 Sept, maka 1 Ramadan 1427 Hijrah jatuh pada Ahad, 24 Sept 2006," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengenai penentuan tarikh Aidilfitri, Roslan berkata mengikut kiraan falak, usia anak bulan Syawal pada 22 Okt (hari rukyah atau hari melihat anak bulan), dapat dilihat kurang daripada lapan jam.
Beliau berkata ijtimak bulan Syawal berlaku pada pukul 1.13 petang, 29 Ramadan bersamaan 22 Okt.
"Jika kaedah itu diguna pakai, kita jangkakan umat Islam akan genap berpuasa selama 30 hari dan menyambut Aidilfitri pada hari Selasa, 24 Okt 2006," katanya.
Bagaimanapun tarikh sebenar puasa dan Hari Raya Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, katanya.
Roslan berkata di Malaysia, kaedah rukyah (melihat) dan hisab (kiraan) menjadi satu entiti bagi penggunaan menentukan anak bulan.
Kaedah itu juga dikenali sebagai "Imkanur Rukyah" yang menggunakan justifikasi kedudukan bulan dan matahari. BERNAMA |
|