|
SUNGAI PETANI: Lima beranak yang dihimpit kemiskinan terpaksa hidup menumpang di sebuah rumah tanpa kemudahan bekalan elektrik dan air di Kampung Kilang Makau, Pokok Asam di sini sejak empat tahun lalu.
Muhammad Ridwan Tee Abdullah, 45, yang juga seorang mualaf berkata, dia menumpang di rumah berukuran enam meter panjang dan lapan meter lebar itu kerana tidak memiliki rumah sendiri dan rumah tersebut merupakan milik seorang pekebun sayur.
Menurutnya, dia tidak mampu untuk membiayai kos pemasangan elektrik dan air kerana pendapatannya sebagai tukang cat di bengkel kereta, menjual barangan terbuang serta membersih kawasan jirat Cina sekadar cukup menyara keluarga.
Foto: Utusan
Katanya, dia tinggal bersama Rahimah Abd. Razak, 38, serta tiga lagi anak mereka, Muhammad Farish Daniel, 10, dan Nurfarhanie, 9, dan Muhammad Fazrin Danish, 5.
“Pada waktu malam, saya menggunakan lampu solar terpakai yang dipasang sendiri dan bekalan air pula diambil dari sebuah perigi berdekatan kawasan paya.
“Bagaimanapun air perigi itu berbau kerana terletak berdekatan paya namun itu lah satu-satunya bekalan untuk mandi dan membasuh manakala air bersih untuk diminum terpaksa dibeli, selain menadah air hujan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Muhammad Ridwan memberitahu, dua anaknya, Muhammad Farish Daniel dan Nurfarhanie merupakan murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tai Tong di sini.
Sementara itu, tambahnya, anak bongsunya, Muhammad Fazrin Danish tidak dapat dihantar belajar di tabika kerana kesempitan wang.
Muhammad Ridwan berkahwin dengan Rahimah pada tahun 2012 dan pernah tinggal di beberapa tempat sebelum dibenarkan mendiami rumah tersebut.
“Saya juga pernah memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Zakat Negeri Kedah, namun tidak diketahui statusnya sehingga kini.
“Selain orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang banyak membantu keluarga saya untuk meneruskan hidup,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Muhammad Ridwan di talian 019-7369397. – CARI
Sumber: Utusan Online |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|