|
KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-19 yang bermula 8 hingga 14 Mei, meningkat sebanyak 119.2%, iaitu kepada 19,137 kes berbanding 8,732 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menyaksikan peningkatan jumlah kes tempatan sebanyak 119.6% atau 8,703 kes kepada 19,108 kes, manakala kes import kekal dengan 29 kes.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjangkakan kenaikan kes selepas perayaan Hari Raya yang telah disambut meriah pada minggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisham berkata, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara ini kini sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif.
“Bilangan kes sembuh pada ME ke-19 menurun sebanyak 59.2% atau 30,930 kes kepada 12,618 kes, berbanding ME ke-18 dan kumulatif individu pulih ialah 4,410,499 kes.
“Kes kematian pada ME ke-19 meningkat sebanyak 3.1% (32 kes kepada 33 kes) berbanding ME ke-17 dan menjadikan kumulatif kes kematian kini 35,612,” katanya lagi.
Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan, iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat sebanyak 38% untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.
“Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 100% melibatkan semua kategori pesakit.
“Secara keseluruhan, peratusan penggunaan katil Covid-19 bukan kritikal turun 18%; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 10% dan katil PKRC pula meningkat 100%,” katanya.
FMT
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|