Kuala Lumpur: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) melihat Bumiputera menghadapi cabaran untuk memiliki rumah mampu milik dengan kos pembelian di bawah RM200,000 seunit memandangkan kesukaran mendapat pinjaman daripada bank.
Ini kerana 40 peratus daripada Bumiputera di negara ini mempunyai pendapatan isi rumah purata RM1700 sebulan tidak mencukupi untuk memiliki rumah melebihi RM200,000 mengikut petunjuk standard kemampuan pembiayaan harga rumah global yang digunakan banyak bank di pelbagai negara yang mana pendapatan bulanan perlu dikalikan untuk 12 bulan (setahun).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Mahshar berkata, pendapatan isi rumah setahun perlu digandakan kepada empat hingga lapan kali bagi melepasi syarat pembiayaan perumahan yang ditetapkan oleh pihak bank. Beliau berkata, namun, ia semakin membebankan apabila terdapat pemaju perumahan di negara ini yang menawarkan harga rumah antara 12 dan 20 kali lebih tinggi daripada pembiayaan yang mampu dibuat oleh orang ramai.
|