Radin Sri Ghazali
Keluarga bahagia... Norman dan Abby belajar daripada kesalahan yang lalu
(The Star)
Memori duka yang tercatit pada 5 Mei 2006 merupakan satu pengajaran yang cukup bermakna buat pasangan popular, Norman dan Abby.
Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 30 telah berkahwin dengan Abby atau Arbaieyah Abdul Manan, 28 pada 8 Januari 2002. Namun disebabkan oleh orang "ketiga" dan tekanan keadaan ketika itu, cinta yang terjalin terputus dan mereka terpaksa bercerai buat seketika.
Ketika ditemui di majlis harijadi pertama anak bungsu mereka, Marissa Dania Hakim pada hari minggu lepas, pasangan ini menunjukkan ketulusan serta keikhlasan percintaan mereka yang kembali bertaut dan tetap utuh setelah rujuk semula di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 Mei 2006.
Kini, kedua pelakon popular yang sering mendapat jolokan pasangan bahagia hanya mahu melupakan detik hitam itu dan menjalani kehidupan normal sebagai pasangan suami isteri.
Ramai para jemputan yang tersentuh apabila Norman membaca doa untuk meraikan ulangtahun kelahiran Marissa yang dibidaninya sendiri pada 2 Julai 2005.
"Kenduri kesyukuran ini bertujuan untuk meraikan ulangtahun pertama Marissa dan tamatnya isu penceraian kami," jelas Norman.
Norman dan Abby ‘dating’ semula
Norman serta Abby mengakui bahawa mereka kini ber‘dating’ semula dalam usaha untuk menghangat dan memulihkan kembali rumahtangga mereka yang hampir hancur dilanda gelombang yang tidak disangka-sangka.
"Kami hanya memberi fokus terhadap anak-anak kami sehinggakan kami alpa terhadap perasaan masing-masing," ujar Norman tersenyum sambil memberi punca tercetusnya masalah dalam rumahtangga mereka.
|
"Merekalah tulang belakang kepada diri saya. Saya akan melakukan apa sahaja untuk mereka," ujar Norman mengenai keluarganya
(The Star) |
Pasangan suami isteri ini dikatakan menonton wayang setiap minggu serta sering mengunjungi pusat karaoke untuk menghabiskan masa bersama-sama.
"Itulah aktiviti yang kami lakukan sebelum berkahwin dan aktiviti itulah yang kami lakukan sekarang untuk menyemai kembali perasaan kasih sayang di antara kami agar ianya akan senantiasa terjalin erat," jelas Norman.
Aksi Norman yang tidak teragak-agak untuk mencium pipi isterinya ketika sesi bergambar bersama media jelas menunjukkan betapa romantisnya hero layar perak ini dan sekaligus membuktikan keharmonian rumahtangga pasangan ini.
Abby pula hanya mampu tersenyum dengan tindakan spontan suaminya itu.
"Norman sudah berjanji’… Abby
Bagi Norman, isu orang ketiga yang mengakibatkan kepincangan rumahtangganya pada bulan Mei lalu telah diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak.
"Saya tidak menafikan kejadian ‘sms’ memang berlaku di antara saya dengan orang ketiga itu.
Namun, terdapat banyak pihak yang menokok tambah cerita sehingga memburukkan lagi keadaan yang ada," ujar bapa kepada Mohd. Danish Hakim, 3 tahun, dan Marisa Dania Hakim, setahun.
Setelah mengharungi pahit getir hidup di ambang penceraian, Norman tersentak dan mengakui bahawa keluarganya amat penting di dalam hidupnya itu.
"Merekalah tulang belakang kepada diri saya. Saya akan melakukan apa sahaja untuk mereka," ujar anak kelahiran Pahang ini yang begitu menyayangi sebuah institusi keluarga di dalam hidupnya.
"Hidup saya terlalu sepi sehinggakan saya sanggup tidur di dalam kereta selama dua malam terturut-turut ," ujar Norman mengimbau detik-detik hitam yang berlaku ketika Abby serta anak-anaknya berpindah keluar dari rumah mereka, Teratak Abadi di Ukay Perdana.
|
"Saya mahu mencari pendapatan yang lebih untuk menjamin masa hadapan anak-anak serta isteri saya. Biarlah perniagaan ini diteruskan sehingga ke generasi seterusnya," ujar Norman mengenai perniagaannya MDH Trading and Services
(The Star) |
"Saya terlalu merindui mereka sehinggakan saya melihat bayang-bayang serta mendengar suara mereka di dalam rumah ini," tambah Norman yang jelas menunjukkan keikhlasan akan perubahannya sebagai seorang bapa serta suami yang lebih bertanggungjawab.
Abby yang enggan berbicara mengenai peristiwa penceraian itu hanya berkata, "Norman sudah berjanji kepada saya bahawa dia tidak akan mengulangi kesalahan yang lalu".
"Siapalah saya untuk memberi nasihat ataupun komen?," jawab Norman yang enggan mengulas dengan lanjut ketika disuruh memberi komen mengenai penceraian Yusry dan Erra baru-baru ini.
"Biarlah penceraian menjadi jalan penyelesaian yang terakhir. Kalau boleh, elakkan daripada bercerai kerana akibatnya amat memilukan," kata Norman yang menggunakan pengalaman sendiri sebagai panduan untuk hidupnya.
Tunggak utama siri Gerak Khas itu begitu terbuka ketika ditanya mengenai isu penceraiannya.
Dia turut mengakui bahawa perkara-perkara sedemikian tidak boleh diselindungi daripada orang ramai terutamanya pihak media.
"Mereka ada hak untuk mengetahui. Saya terima hakikat ini sebagai seorang artis," ujarnya mengenai campur tangan pihak media dalam kehidupan peribadi selebriti-selebriti tanahair.
Kerja keras untuk kesenangan Danish dan Marissa
"Selain daripada berlakon, saya turut membuat peniagaan yang berunsurkan event management ," kata Norman mengenai syarikatnya yang telah mengendali ‘Maxis: Oscar Night’ baru-baru ini.
Norman yang mempunyai sebuah firma bernama MDH Trading Services, mahu membina sebuah empayar perniagaan bagi menjamin kesenangan keluarganya di masa hadapan.
"Saya mahu mencari pendapatan yang lebih untuk menjamin masa hadapan anak-anak serta isteri saya. Biarlah perniagaan ini diteruskan sehingga ke generasi seterusnya," ujar Norman lagi.
Bagi Abby pula, dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk drama bersiri Gerak Khas, di bawah produksi pengarah terkenal, Datuk Yusuf Haslam.
"Saya tidak dapat bayangkan hidup tanpa Gerak Khas," katanya lagi yang bakal berlakon dalam siri slot Samarinda yang berjudul ‘Nuraishah’ bersama-sama Rita Rudaini serta Redzuan Hashim.
Abby turut mengatakan bahawa dia tidak akan menyanyi lagi demi memantapkan lagi kerjayanya sebagai seorang pelakon.
Pelakon yang pernah menganggotai kumpulan remaja sensasi, Elite hanya ketawa mesra apabila ditanya jika dia serta suaminya sudah bersedia untuk menimang cahaya mata ketiga.
"Mungkin lima tahun lagi... biarlah Danish dan Marissa membesar dulu," ujarnya tersenyum.